Kerajaan PAS Kelantan menjelaskan tindakan negeri itu memperkenalkan garis panduan yang “tidak menggalakkan” penonton lelaki dibuat atas saranan pemain bola jaring wanita dan beliawanis sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat berkata demikian merujuk kontroversi sekitar Kejohanan Bola Jaring Beliawanis peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen di negeri itu.
Pertandingan peringkat DUN dijadual pada 27 Ogos dan Parlimen pula pada 6 September hingga 25 Oktober).
“Di samping kita bersukan, kita juga dapat pahala, itu antara tujuan pengajaran Islam (sebagai) rahmatan lil’aalamin (rahmat sekalian alam),” beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily .
Beliau dilapor berkata demikian pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Besar Kelantan bersama masyarakat antara kaum di Dewan Undangan Negeri Kota Lama di Kota Bharu semalam.
Akhbar web PAS itu juga melaporkan Ramli sebagai berkata, pemain wanita berjiwa Islam mahukan mereka tidak disaksikan kaum lelaki.
“Dan saranan itu sendiri selaras dengan dasar kerajaan negeri, dan kita amat bersetuju," katanya lagi.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri bukan menghalang terus lelaki menyaksikannya “tetapi idealnya digalakkan hanya penonton wanita dan beliawanis saja”.
“Kita mahu, biarlah apa yang kita buat itu kita rasa beribadat kepada Allah swt, di samping kita bermain itu, kita dapat pahala," ujarnya lagi seperti dilaporkan Harakahdaily .
Kontroversi sekitar isu itu muncul apabila Kelantan pada 19 Ogos lalu dilapor bakal mengadakan kejohanan bola jaring dalam gelanggang tertutup hanya untuk penonton wanita di semua 14 kawasan parlimennya bulan hadapan.
MCA kemudian tampil mengutuk larangan lelaki menonton perlawanan bola jaring di Kelantan dan menyifatkannya sebagai "langkah terkebelakang”, mengekang populariti dan menjadikan Malaysia bahan ketawa.
'Diberhentikan' pada 2008
Sementara itu, portal itu juga melaporkan, kerajaan Kelantan menghidupkan semula aktiviti sukan membabitkan wanita dan beliawanis termasuk sukan bola jaring setelah ‘diberhentikan’ pada 2008.
“Keterbukaan” kerajaan negeri itu, kata Ramli, kerana masyarakat kini termasuk bukan Islam memahami kerajaan mengamalkan dasar Membangun Bersama Islam, bawah kepimpinan ulama.
