Malaysiakini BERITA

Khir Toyo di hospital, rayuan kes rasuah ditangguh 6 Nov

Ahmad Fadli KC  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Rayuan peringkat akhir Dr Mohd Khir Toyo terhadap hukuman 12 bulan penjara kerana sabitan rasuah, telah ditangguhkan sekali lagi kepada 6 November selepas bekas menteri besar Selangor itu tidak hadir di mahkaman kerana dimasukkan ke hospital malam tadi.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) berkata Khir dimasukkan ke Hospital Pakar DEMC Shah Alam sekitar jam 9 hingga 10 malam tadi kerana migrain yang teruk akibat sakit tulang belakang dikenali sebagai cervical spondylosis .

"Beliau telah mengalami sakit kepala dan migrain sejak dua minggu lalu.

"Malam tadi beliau mengalami migrain yang teruk.

"Beliau tak boleh berjalan. Harapnya itu sahajalah (sakit beliau)," katanya di dalam mahkamah pagi tadi.

Menurut Shafee, ini adalah kali pertama kes ini ditangguhkan kerana sebab berkaitan dengan Khir Toyo sendiri.

Menurutnya, Khir Toyo tidak pernah gagal hadir ke mahkamah sebelum ini dan beliau merupakan antara orang yang paling awal hadir untuk kes ini.

Ini merupakan kali ketiga rayuan kes ini ditangguhkan.

Kali pertama ia ditangguhkan adalah pada 6 Februari 2014 dan bahagian komunikasi korporat mahkamah memaklumkan ia terpaksa dibuat "atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan oleh mahkamah".

Kali kedua ia ditangguhkan adalah pada 10 April 2014 kerana Shafee berada di Jepun pada tarikh itu.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel lima orang hakim turut mengingatkan Shafee untuk memastikan kehadiran beliau sendiri pada pendengaran akan datang.

"Awak banyak ambil kes jadi pastikan awak sendiri hadir nanti," katanya.

Hadir bagi pihak pendakwaan adalah Masri bin Mohd Daud dan Fadhli bin Ab Wahab.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan terhadap Khir dan memerintahkan hartanah yang terlibat dalam kes itu dirampas.

Khir didapati bersalah menggunakan kedudukannya sebagai menteri besar dan pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk memperolehi tanah dan sebuah banglo bernilai RM3.5 juta dengan harga di bawah nilai pasaran.

Mahkamah memutuskan untuk merampas hartanah itu yang kemudian akan diserahkan kepada kerajaan.

Mahkamah Rayuan setahun kemudiannya mengekalkan keputusan mahkamah tinggi tersebut.

Kini, Mahkamah Persekutuan adalah peringkat akhir untuk Khir merayu kesnya.

Khir adalah menteri besar Selangor kedua yang disabitkan kesalahan rasuah selepas Datuk Harun Idris.