Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah bimbang kes hina Islam di Internet
Diterbitkan:  Aug 29, 2014 3:49 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap media sosial dan media massa yang dilihat mempunyai pengaruh besar terhadap pemikiran rakyat.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah wujudnya pihak tidak bertanggungjawab membuat “pembohongan fakta, pencemaran budaya dan penyebaran racun akidah” antaranya di Facebook, e-mel, aplikasi WhatsApp dan SMS.

Menurut khutbah itu, proses pendemokrasian maklumat ini juga berjalan dengan begitu pantas.

Justeru, mimbar menegaskan supaya seluruh umat Islam meletakkan kepentingan agama dan akidah di tempat yang teratas.

"Penghinaan kepada umat Islam secara berterusan seperti menghina institusi raja, mempertikai perlembagaan negara, memperlekehkan hak-hak eksklusif ummah seperti kalimah Allah, masjid dan sebagainya, mempersendakan ibadah umat Islam seperti menghina bulan Ramadan dengan hidangan binatang yang haram di sisi Islam dan yang paling malang lagi dan boleh menggugat perpaduan ummah sehingga ada yang sanggup menghina Rasulullah SAW," kata khutbah itu.

Selain itu, mimbar turut mengingatkan agar penyelewengan akidah wajib dibanteras kerana mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik serta jati diri.

"Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Umat Islam yang menjaga agama akan menjadi seorang yang berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral.

“Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya.

"Dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya," katanya.

Khutbah Jumaat kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini berjudul “Patriotisme Asas Kemerdekaan'.

Lihat Komen
ADS