Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
11 anggota PPS yang ditahan ada rekod jenayah
Diterbitkan:  Sep 1, 2014 3:38 PM
Dikemaskini: 10:45 PM

Sebelas daripada 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditahan semalam mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk menjadi anggota kongsi gelap, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

    

Beliau berkata berdasarkan rekod polis, 11 lelaki itu pernah terlibat dengan jenayah ugutan, samun, curi, membunuh tanpa niat, dadah dan kesalahan mengikut Akta Kastam.

    

"Siasatan polis juga mendapati seorang daripada 11 lelaki itu merupakan anggota kongsi gelap dan lelaki berusia 50 tahun itu pernah ditahan menurut Ordinan Darurat.

    

"Empat daripada 156 yang ditahan pula didapati positif dadah. Ujian air kencing empat lelaki berusia 26 hingga 64 tahun itu akan dihantar ke Jabatan Kimia dan polis akan tunggu laporan daripada jabatan berkenaan sama ada mereka positif dadah disebabkan dadah atau ubatan yang diambil," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

    

Semalam, polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas pasukan itu didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

    

Abdul Rahim berkata polis membebaskan 21 orang termasuk tujuh wanita dengan jaminan polis semalam manakala 135 yang masih ditahan direman sehari sehingga esok.

    

"Polis mendapat perintah reman sehingga esok dan kami akan lengkapkan kertas siasatan seberapa segera sebelum dihantar kepada Ketua Unit Pendakwaan. Kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966," katanya.

    

Beliau berkata 156 anggota PPS yang ditahan semalam berusia antara 18 dan 67 tahun dan bekerja dalam pelbagai bidang antaranya penjawat awam, peniaga, pekerja swasta dan penuntut kolej.

    

Abdul Rahim berkata susulan penahanan itu, polis merampas 154 helai t-shirt dan vest berwarna ungu serta beret yang dipakai anggota PPS berkenaan dan set walkie talkie serta kad keanggotaan mereka.

    

"Polis juga akan mengambil tindakan selanjutnya ke atas semua anggota PPS yang lain, kalau mereka hendak serah diri kami akan siasat. Setakat ini kami ada data lebih 30 peratus daripada hampir 10,000 anggota pasukan berkenaan," katanya.

    

Beliau berkata polis tidak pernah menerima senarai nama anggota PPS untuk tapisan keselamatan sebelum mereka menjadi anggota pasukan berkenaan seperti didakwa kerajaan negeri.

    

Abdul Rahim turut menafikan pihaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota PPS kerana berkaitan politik sebaliknya polis bertindak mengikut landas perundangan kerana pasukan itu tidak berdaftar dengan ROS.     

- Bernama

Lihat Komen
ADS