Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi cabar kelompok PAS tubuh parti sendiri
Diterbitkan:  Sep 6, 2014 2:26 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar golongan yang berselisih pendapat dalam PAS agar keluar parti untuk menubuhkan gerakan sendiri.

Dengan nada berseloroh, beliau mengumpamakan golongan tersebut sebagai pengacau seperti nyamuk yang mengganggu tidur.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam.

"Kalau duduk dalam, kalau ada nyamuk seekor tak jenera (lena) tidur kita pun, itu dia, senang nak tubuh parti, sila,” katanya seperti dipetik dalam laporan lidah parti itu, Harakahdaily hari ini.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketia dalam satu program taklimat di Marang, Terengganu semalam.

Menurut laporan itu Hadi turut ditanya mengenai ura-ura penubuhan parti baru dengan nama Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Hadi bagaimanapun berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Jemput Tengku Razaleigh

Sementara itu, satu video ucapannya dalam program tersebut menunjukkan Hadi turut membangkitkan mengenai beberapa krisis yang dihadapi PAS,

Namun, parti itu tetap berjaya bertahan walau para pemimpin utamanya keluar parti, kata Hadi.

Jelasnya, presiden PAS bertindak keluar parti sejurus sebelum pilihan raya umum 1955, dan pada tahun 1960-an pula setiausaha agungnya berundur dari parti tersebut.

Pada tahun 1978, seramai tujuh hingga lapan orang jawatankuasa pusat meninggalkan parti itu, katanya yang menambah, parti itu tetap utuh.

Hadi juga ditanya mengenai hasrat parti itu yang didakwa lebih cenderung memilih veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menjadi perdana menteri, dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau menjawab, PKR dan DAP terlebih dahulu menjemput Tengku Razaleigh menyertai parti berkenaan, namun kerabat istana Kelantan itu enggan berbuat demikian.

Seterusnya, PAS memujuk beliau menyertai parti tersebut, namun beliau tetap enggan, katanya.

Hadi bagaimanapun tidak menyebut mengenai peranan Tengku Razaleigh sebagai calon yang berpotensi dilantik sebagai perdana menteri.

Ucapan dalam program taklimat bersama penyokong PAS di Marang itu dimuatkan di Youtube.

Lihat Komen
ADS