Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merupakan calon BN pilihan penduduk di DUN Pengkalan Kubor.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), sebanyak 35 peratus daripada 507 responden penduduk tempatan mahukan Asyraf.
Hasil kajian itu, Umcedel berkata, kriteria yang dicari oleh penduduk daripada calon ialah calon itu perlulah mesra dan prihatin dengan kebajikan pengundi.
Kriteria lain yang diingini pengundi ialah calon mestilah orang tempatan (27 peratus), mempunyai pendidikan agama (25 peratus), dapat membawa pembangunan (12 peratus) dan memiliki pelajaran tinggi (enam peratus).
Asyraf ( kanan ) mempunyai pendidikan agama serta merupakan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Beliau juga pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Tumpat pada 2008 tetapi kalah kepada penyandang kerusi itu daripada PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar.
Selain Asyraf, calon-calon pilihan lain daripada BN seperti yang disenaraikan oleh Umcedel ialah Timbalan Ketua Umno Tumpat Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz (29 peratus), Razidi Mohmad (16 peratus), Wan Johani Wan Hussin (9 peratus) dan Wan Hanafi Wan Yaacob (9 peratus).
Bagi calon Pakatan Rakyat, pencabar utama bagi kerusi DUN itu ialah Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim (28 peratus) diikuti oleh Che Ibrahim Mohamed dan Rofien Hassan (masing-masing mendapat 16 peratus) serta Sharom Ibrahim (12 peratus).
BN dijadualkan menamakan calon esok manakala PAS dijadualkan menamakan calon mereka pada hari Khamis selepas PKR memberi laluan kepada parti Islam itu untuk bertanding di kerusi tersebut.
Kerusi Pengkalan Kubur kosong berikutan kematian ADUN sebelum ini, Datuk Noor Zaidi Omar, 57, yang mati akibat kanser.
Hari penamaan calon dijadualkan pada 13 September manakala hari pengundian pada 25 September.
