Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waris kecewa drama Rosli Dhoby salah fakta
Diterbitkan:  Sep 10, 2014 5:14 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Waris Rosli Dhoby yang dihukum gantung pada 1950 kerana menikam Gabenor kedua Sarawak Duncan Stewart, mendakwa drama siaran Astro mengenai nasionalis Sarawak itu mengandungi beberapa kesilapan fakta.

Lucas Johnny berkata, kesilapan fakta paling jelas ialah adegan yang menunjukkan Rosli melarikan diri selepas menikam perut gabenor itu sebelum ditahan oleh polis.

"Saya bersama abang saya pada ketika itu menyaksikan kejadian tersebut dia (Rosli Dhoby) tidak lari selepas menikam dengan badik, malah cuba untuk menikam kali kedua tetapi dihalang oleh polis berbangsa Sikh.

"Tindakan Rosli pada ketika itu menunjukkan sikapnya yang berani dan bersedia menghadapi segala kemungkinan," katanya.

"Dalam drama itu, "Warkah Terakhir", Rosli Dhoby lari dan ini amat mengaibkan kerana menggambarkan Rosli sebagai pengecut. Itu bukan sifatnya.

"Kalau sesiapa tak percaya sila datang jumpa saya serta abang saya dan saya akan tunjuk semua bukti," katanya.

Beliau berkata sebelum penggambaran drama itu produser tidak berusaha untuk menghubungi beliau dua beradik untuk mendapatkan cerita sebenar nasionalis Sarawak itu.

Beliau berkata, kesilapan fakta tersebut perlu diketahui generasi masa  sekarang kerana jika dibiarkan akan mengubah fakta sejarah secara keseluruhan.

"Saya masih ingat kejadian tersebut ibarat berlaku semalam sahaja kerana setelah Rosli Dhoby ditangkap saya terus balik ke rumah takut ditangkap oleh polis dan sehingga ramai yang tidak tahu pasal itu," katanya.

Johnny, 70, yang  menghadiri satu forum khas Rosli Dhoby Rabu lepas bersama abangnya, Tahar, berkata sehingga kini segala dokumen berkaitan dengan Rosli termasuk surat terakhir sebelum dihukum gantung masih dalam simpanannya.

"Apa yang dipaparkan hanya 60 peratus tepat...sebagai sepupu yang rapat dengan Allahyarham dan saksi masa kejadian bersama dengan abang saya Tahar, kebanyakan yang dipaparkan dalam drama tersebut silap dan satu adegan menggambarkan dia (Rosli) pengecut," kata Johnny kepada Bernama.

Tahar, 74, turut mengakui drama tersebut mempunyai kesilapan fakta dan enggan menonton episod seterusnya selepas menonton beberapa episod awal.

Drama lapan episod itu kali pertama disiarkan di Astro Citra pada 2009, dan berikutan permintaan ramai, diulang siar beberapa kali.

Selepas ditikam, Stewart telah dikejarkan ke Singapura untuk mendapat rawatan namun gagal diselamatkan.

Rosli telah dihukum gantung sampai mati pada 2 Mac 1950 setelah didapati bersalah kerana menikam Stewart dengan badik pada pagi 3 Disember 1949 di Sibu.  

Forum tersebut, "Sembang Kemerdekaan: Berani Mati Demi Tanah Air, Wira Muda Bernama Rosli Dhoby" dianjurkan oleh Pustaka Miri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS