Anwar minta ampun lagi pada istana

   

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon maaf sekali lagi kepada pihak istana Selangor.

Kali ini ekoran teguran istana yang mengingatkannya supaya tidak membuat kenyataan mengelirukan atau menjejaskan imej sultan dalam isu calon menteri besar baru negeri itu.

“Sekiranya ada kekhilafan berlaku, saya mohon ampun dari DYMM Sultan Selangor,” katanya.

Dalam kenyataan ringkas satu perenggan petang ini, Anwar berkata, beliau hanya menyatakan apa yang berlaku dalam pengetahuannya, terutama sepanjang berada dalam kerajaan Umno-BN, sejak 1982 hingga 1998.

Setiausaha sulit sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani hari ini menyampaikan teguran itu dengan merujuk kenyataan Anwar bahawa tindakan mengemukakan satu nama calon menteri besar amalan lazim sejak merdeka.

Munir sebaliknya menjelaskan, selepas pilihan raya umum 2013, Pakatan diminta mengemukakan empat calon tetapi Pakatan tetap mengesyorkan satu nama, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim, untuk dilantik semula.

Oleh itu, kata Munir, jika Anwar tidak mempunyai fakta tepat, beliau dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan imej sultan.

Kenyataan itu juga timbul selepas pengakuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN juga sebelum ini hanya mengemukakan satu nama calon untuk pertimbangan sultan.

PKR sebelum ini bertegas mengemukakan satu nama, iaitu presiden partinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan tersebut, yang disokong DAP.

Tindakan itu menimbulkan kemurkaan sultan Selangor, dan kedua-dua parti seterusnya memohon ampun.

PAS, rakan mereka dalam Pakatan Rakyat pula memenuhi permintaan baginda dengan mengemukakan lebih daripada dua nama calon.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda