Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Mimbar: Rakyat bosan pemimpin bertelagah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mimbar Jumaat hari ini mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin yang sentiasa bertelagah sesama sendiri akan menyebabkan rakyat bosan.

Masalah ini seterusnya akan memberi kesan kepada negara, pesan mimbar lagi.

"Apabila pemimpin asyik bertelagah merebut jawatan hingga lalai dan lupa tanggungjawab membela nasib rakyat, rakyat merasa bosan.

"Jika kebosanan ini berterusan ia mampu menggugat sistem bernegara kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin," teks khutbah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dipetik.

Khutbah hari ini mengetengahkan tajuk "Perpaduan Asas Kepimpinan".

Mimbar hari ini turut mengingatkan orang ramai tentang perpecahan sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah dan Khalifah Umayyah.

Mimbar berkata berlaku perpecahan pada zaman Khalifah Abbasiyah akibat tindakan seorang wazir Syiah bernama al-Aqami.

Mimbar berkata wazir itu membawa masuk tentera Tartar dan Mongol ke kota Baghdad untuk menghapuskan khalifah Abbasiyah.

"Akibat kebencian wazir Syiah itu kepada kekhalifahan yang dipegang terus-menerus oleh Bani Abbas, ia telah mengkhianati Daulah Islamiyyah Bani Abbas dengan membawa masuk tentera Tartar dan Mongol di bawah pimpinan Hulako ke dalam kota Baghdad.

"Akibatnya, bukan sahaja khalifah dan keluarganya dibunuh oleh Hulako setelah dapat menghancurkan Baghdad, bahkan wazir pengkhianat itu pun tidak terlepas dari kehinaan dibunuh dengan keji," katanya.

'Jangan minta-minta jadi pemimpin'

Sementara itu, teks khutbah yang sama turut berpesan agar umat Islam tidak meminta-minta untuk menjadi pemimpin.

"Rasulullah SAW menegah umat Islam daripada meminta-minta atau mengampu sana sini untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara," teks itu dipetik.

Ia turut berpesan agar pemimpin-pemimpin menghormati undang-undang negara dan menghormati perlembagaan.

"Demi kemakmuran dan masa depan negara, jadilah pemimpin yang sentiasa mendokong undang undang dan perlembagaan negara serta sentiasa menghormati dan mempertahankannya.

"Oleh itu, pemimpin yang baik dan cemerlang adalah pemimpin yang mampu menilai situasi sebegini lantas melakukan pelbagai strategi proaktif dan berkesan bagi mempertahankan maruah diri dan kepimpinannya," teks itu dipetik.