Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS hanya akan menurunkan papan iklan mereka sekiranya mendapat arahan khusus daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Pengarah Jentera PAS DUN Pengkalan Kubor, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pihaknya juga masih belum menerima surat arahan yang baru supaya menurunkan papan selepas SPR semalam tersalah mengeluarkan surat.

"Kita masih belum terima apa-apa surat. Tadi mesyuarat pun tidak ada (yang memaklumkan menerima surat). Kita sedia beri kerjasama untuk turunkan papan iklan tetapi hanya akan menurunkan (papan iklan) sekiranya mereka (SPR) memberi arahan khusus papan iklan yang mana satu patut diturunkan.

"Dan kita juga minta supaya SPR turut memberi surat supaya BN turunkan papan iklan mereka yang berniat jahat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Semalam, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli mengakui bahawa beliau tersalah mengeluarkan arahan untuk menurunkan papan iklan pro-BN dalam kawasan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor berhubung isu royalti minyak.

Beliau berkata surat itu sepatutnya ditujukan kepada urus setia penerangan kerajaan negeri, bawah pentadbiran PAS Kelantan. Namun, beliau membuat kesilapan dengan mengeluarkan surat kepada Jabatan Penerangan Negeri bawah kerajaan persekutuan, katanya.

SPR: Arahan baru dihantar

Sementara itu, pada sidang media oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pagi tadi, beliau memberitahu bahawa pihaknya telah menghantar arahan baru kepada PAS.

Beliau turut berkata, pihaknya juga telah bertemu dengan wakil parti dari BN dan PAS supaya menurunkan kain rentang yang berkaitan.

"Semalam silap sedikit. Dah ada surat baru dikeluarkan. Kita dah serah (surat arahan baru).

"Ada kain rentang yang dipasang menimbulkan fitnah, sangka buruk dan sebagainya. Semua parti buat. Tapi bila dipanggil (dua-dua parti) oleh SPR supaya menurunkannya, mereka setuju untuk turunkan. Jadi tak ada masalah," katanya.

Poster dan kain rentang yang membangkitkan isu royalti serta masalah dalaman parti dipasang di sepanjang jalan di Pengkalan Kubor bermula Sabtu lalu.

Terdapat poster yang membangkitkan isu wang ehsan, kandungan ucapan timbalan mursyidul am, Datuk Haron Din, bekas exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa dan juga presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang turut menonjolkan masalah pentadbiran negeri Kelantan.

Selain itu, papan tanda daripada pihak urus setia penerangan kerajaan negeri pula bertulis "Royalti perjanjian sama, jarak lebih dekat, royalti tak dapat".

Malah, terdapat satu gambar peta yang menunjukkan perbezaan jarak antara tempat pendaratan gas asli di Songkla, Thailand dan Kota Bharu. Papan iklan itu juga bertulis "Royalti: Kelantan terus dianiaya".

Lihat Komen
ADS