Kerajaan dilihat sering menggunakan Akta Hasutan ke atas isu isu kaum dan agama seperti yang dilihat dalam kes penulis blog seks Alvin dan Vivian dan juga David Orok di Sabah.
Tindakan ini diambil biarpun kedudukan Islam tidak dinyatakan dengan jelas dalam akta hasutan, tetapi menurut peruntukan Seksyen 3(1)(e) iaitu tindakan terhadap promosi perasaan benci dan permusuhan antara kaum atau golongan yang berlainan.Walaupun akta hasutan sering digunakan terhadap mereka yang menyebabkan ketegangan agama terutamanya agama Islam, namun ia juga diperluaskan terhadap kumpulan-kumpulan beragama Islam atas sebab yang sama.
Pada tahun 2009, seramai 12 individu dihukum bawah akta hasutan kerana menggunakan kepala lembu dalam suatu protes untuk menghasut dan mewujudkan perasaan tidak puas hati terhadap penganut Hindu.
Pandangan umum dalam soal ini juga sangat berbeza. Sementara ramai menyokong tanggapan tidak berkompromi dalam soal sensitiviti agama, yang lain mendakwa pendakwaan terpilih dan pelaksanaan terutamanya golongan bukan Islam.
Penggunaan akta hasutan terhadap perkara sensitiviti agama adalah sangat kontroversi kerana parameter sensitif agama adalah sangat subjektif dan luas.
Terdapat kes pada 2014 apabila seorang remaja disiasat kerana menekan butang "suka" pada laman pro-Israel di Facebook. Ia menjadi contoh tentang bahaya subjektiviti itu dan sensitiviti jiwa kapas.
Kita sebenarnya hidup di zaman seseorang itu boleh tersinggung dengan gambar kucing dalam Facebook semata-mata sehingga boleh menyebabkan kekecohan kehidupan sosial termasuk perceraian.
Tindakan menyakitkan hati orang lain di era internet ini bagai satu tuntutan terutamanya apabila teknologi telefon pintar bertemu budaya 'Aramaiti.
Pengunaan Akta Hasutan dalam erti kata sensitiviti agama juga kontroversi kerana ia melangkaui politik dan boleh menyabit orang awam yang jahil.
Budaya politik hukuman
Menurut James F Stephen dalam buku beliau, History of Criminal Law in England, hasutan adalah satu kesalahan politik yang lazim dan dipolitikkan.
Perkataan "hasutan" berasal dari perkataan Latin "seditio", yang bermaksud "yang mengenepikan" atau terkeluar dari ruang penguasaan dan norma.
Undang-undang hasutan tidak wujud di atas atau di luar sesuatu masyarakat ; ia adalah cerminan masyarakat pada masa tertentu dalam evolusinya.
Menurut definisi James Stephen, kewujudan hasutan bergantung kepada norma-norma sosio-politik sesebuah negara akan sikap orang ramai terhadap perkara yang berbentuk sensitif.
Ia dapat ditafsir berdasarkan budaya politik kita yang berasaskan bangsa dan agama, di mana budaya mempolitikkan perkara kurang sensitif atau jahil untuk kepentingan politik terus mewujudkan suasana intim bagi akta hasutan.
Budaya politik kita adalah berbentuk menuntut hukuman dan tindakan eksekutif sebagai penyelesaian dan bukannya berbentuk penglibatan terhadap kenyataan dan tindakan-tindakan politik yang bersifat politically incorrect dan tidak sensitif.
Penggunaan akta hasutan juga dilihat menjadi norma kerana kekurangan budaya intelektual dan perbahasan secara objektif di mana pedang menjadi lebih tajam dari pena apabila isu bangsa dan agama menjadi subjek.
Pada Oktober 2013, ahli parlimen tunggal PKR di Sabah berkata, Mufti Sabah Bungsu Jaafar perlu dihukum kerana memanggil etnik Kadazan sebagai "bangsa ciptaan".
Biarpun kurang sensitif, isu itu ditangani dengan tindakan kebencian dan laporan polis dan bukannya pendidikan awam mengenai kekayaan budaya dan sejarah masyarakat itu sendiri.
Kejadian itu juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara umumnya melihat perkara kaum dan agama sebagai sensitif dan sebagai jenayah.
Satu lagi kes yang jatuh dalam kategori ini adalah kes profesor undang-undang, Azmi Sharom, calon yang sempurna untuk dibawa ke muka perdebatan dan bukan ke mahkamah.
Perkembangan sedemikian memperlihatkan sama ada kita kekurangan kapasiti intelek atau hanya sekadar longlai dibuai politik kebencian.
Kanun Keseksaan vs akta harmoni
Akta hasutan adalah serampang bermata dua, yang sebelah terus merobek kebebasan bersuara dan yang satu lagi sebagai senjata pertahanan keharmonian sosial dan keamanan.
Jadi, adakah kita benar-benar bersedia untuk Malaysia tanpa undang-undang hasutan?
Ia lebih daripada kempen pemansuhan undang undang penjajah kerana masyarakat mengasuh dan membesarkan undang-undang ini bagi kepentingan politik dan keharmonian sebagai norma.
Akta hasutan juga unik berbanding dengan Kanun Keseksaan seperti dalam Bab VI (Kesalahan Terhadap Negara), Bab VIII (Kesalahan Terhadap Ketenteraman Awam) dan Bab XIV (Kesalahan Yang Memberi Kesan Kepada Kesihatan Awam, Keselamatan, Kemudahan, Kesopanan dan Akhlak).
Kanun Keseksaan yang disebut ini, dilihat hanya sekadar mampu untuk menghukum jenayah yang sudah berlaku atau sedang dalam perancangan yang aktif.
Kanun Keseksaan dilihat sebagai tumpul dan kurang berkesan sebagai pencegahan awal.
Persoalan norma keselamatan dan kesejahteraan awam yang cuba dibentuk dengan tindakan awal dan mencegah pada peringkat akar menjadikan Kanun Keseksaan sebagai kurang sesuai buat citarasa rakyat Malaysia.
Pilihan lain akta harmoni juga dikhuatiri oleh pihak tertentu sebagai tidak berkesan sebagai undang-undang pencegahan atas sebab skop sempit yang menekankan keperluaan membuktikan ancaman sebenar dan niat untuk menyebabkan kemudaratan atau bagi tujuan keganasan.
Biarpun selari dengan standard antarabangsa tetapi undang-undang harmoni juga dilihat kurang berkesan dalam konteks Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Skop dan aplikasinya gagal menjadikan komen sensitif sebagai jenayah menurut selera keselamatan harmoni rakyat Malaysia.
Ini terutamanya apabila ia menyentuh subjek sensitif seperti bangsa, agama, raja-raja Melayu atau kedaulatan negara.
Perkara ini juga dianalisa berikutan kemunculan kumpulan politik yang berdasarkan kaum dan agama dari Hindraf, ISMA dan Majlis Gereja-gereja.
Mereka cepat bertindak menuntut hukuman terhadap segala tindakan kurang sensitif, dari serbuk kari ke pertukaran agama demi kepentingan politik kaum dan agama mereka.
Persoalannya, adakah kaum Cina akan bertolak ansur dengan kempen terbuka pemansuhan sekolah-sekolah vernakular?
Adakah orang Melayu akan bertolak ansur dengan penerbitan yang mempersoalkan al-Quran dan Hadis?
Adakah orang asli dan Orang Asal di Tanah Melayu dan Borneo bertolak ansur dengan tindakan persoal kedudukan istimewa sebagai penduduk asal dan upacara agama mereka sebagai berhala?
Adakah kaum India akan bertolak ansur jika haiwan suci mereka dieksploitasi atau dipanggil dengan terma sensitif di media sosial?
Dan adakah orang-orang Kristian akan bertolak ansur dengan pembinaan Gereja Autobots dan Optimus Prime di atas salib?
Kerajaan harus bertindak dengan mewujudkan satu jawatankuasa khas parlimen untuk mengkaji semula akta hasutan untuk membolehkan penglibatan awam dan perbahasan awam yang lebih luas.
Proses ini perlu untuk satu keputusan yang objektif sebagai sebuah negara yang matang.
Cadangan untuk menggantikan akta hasutan dengan undang-undang baru atau untuk pemansuhan dengan sewenang-wenangnya adalah satu perbuatan meletakkan kereta sorong di hadapan kuda.
Penyelesaian kepada isu hasutan adalah di luar pemansuhan atau penggantian tetapi perlu satu pelan tindakan dan pelan strategik dari segi landskap sosio-politik negara serta perubahan budaya dan norma politik.
Bahagian I: Bagaimana abad ke-13 lahirkan akta hasutan
