Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, surat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan akan diberi petang ini bagi menyatakan keraguan berhubung ujian dadah yang dilakukan terhadap atlet wushu negara Tai Cheau Xuen.

Khairy juga berkata, surat rayuan itu juga bagi menyatakan pendirian negara bahawa jawapan Majlis Olimpik Asia (OCA) berhubung ujian dadah terhadap Tai kurang memuaskan.

"Kalau sekiranya kita tak tahu apa yang berlaku pada sampel itu sehingga ia diuji, sudah pasti ia menimbulkan keraguan pada keseluruhan proses. Ini adalah satu penafian hak kepada atlet kita yang menuntut ketelusan dalam ujian dadah oleh OCA.

"Jadi kita akan kemukakan rayuan kita pada petang ini dan kenyataan petang ini lebih kepada pendirian Malaysia bahawa aduan yang kita kemukakan, tidak menerima jawapan yang memuaskan daripada OCA," katanya pada sidang media hari ini.

Pingat emas pertama negara dalam Sukan Asia yang dimenangi Tai terpaksa ditarik balik selepas beliau gagal dalam ujian dadah.

Keputusan itu dibuat OCA selaku penganjur Sukan Asia 2014 di Korea Selatan pada Selasa lalu.

Tai, 24 yang bersaing dalam acara nanquan dan nandao itu didapati menggunakan dadah perangsang jenis sibutramine.

Beliau disahkan positif dalam ujian terhadap sampel yang diambil selepas dia menangi emas pada 20 September lalu.

Sehubungan itu, Khairy berkata lagi, beliau tidak dapat memastikan sama ada kejadian yang menimpa Tai merupakan sabotaj atau tidak.

Malah, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, adalah tidak masuk akal sekiranya Tai perlu mengambil dadah memandangkan sukan yang disertainya itu bukan dikategorikan sebagai sukan berat.

"Saya tak pasti ada sabotaj atau tidak. Cuma saya boleh nyatakan fakta yang proses perjalanan sampel ini ada banyak keraguan.

"Ini bukan sukan berisiko tinggi dan kategori wushu yang dia menangi pun bukan combat wushu tetapi wushu artistik.

"Kita bukan ragui keputusan tetapi kita ragui prosedur dan proses hasil ujian itu dan kenapa dia (Tai) kena ambil benda seperti ini. Ia tidak masuk akal," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS