Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Agama Islam (MAIJ) Johor menyangkal dakwaan beberapa orang pelajar Johor di Mesir yang mendakwa tidak mendapat bantuan zakat disebabkan pengurusan majlis itu tidak cekap.

MAIJ ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan pihaknya tidak pernah bermasalah dalam pengagihan bantuan zakat kepada pelajar di Mesir.

Pembantu Hal Ehwal Islam MAIJ Raja Azhar Raja Ariff berkata, bantuan zakat akan diberikan kepada pihak pengurusan hal ehwal pelajar (HEP) di Mesir kemudian pihak di sana akan menyerahkan wang itu kepada pelajar layak.

“Pihak kami mengeluarkan bayaran (zakat) bergantung kepada senarai nama yang HEP berikan dan bayaran pun bukan terus kepada pelajar tetapi terus ke pejabat HEP di sana.

“Pelajar akan mengambil bayaran di sana (pejabat HEP Mesir) dan bayaran yang kami buat memang tiada masalah, setiap tahun berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan jika ada pelajar yang tidak menerima bantuan tersebut bermaksud pelajar itu memang tidak memenuhi syarat kelayakan.

Jumpa exco, 4 kali temuduga

Raja Azhar berkata isu itu sudah lama selesai dan pihaknya juga sudah memberitahu pelajar terbabit.

Beliau diminta mengulas aduan pelajar-pelajar di universiti di Mesir kepada Malaysiakini yang mendakwa tidak mendapat bantuan zakat dan tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

Kesemua mahasiswa kelahiran Johor itu mendakwa ia ekoran pengurusan MAIJ tidak cekap.

Seorang pelajar mendakwa, beliau gagal mendapat bantuan kali ini selepas terkandas dalam peperiksaan tahun ketiga.

Bagaimanapun selepas peperiksaan semula dan lulus, bantuan zakatnya masih tidak disambung semula.

Lapan individu ini juga didakwa menghadiri temuduga zakat sebanyak empat kali termasuk perjumpaan terus kepada exco agama negeri pada Mac lalu namun masih belum menerima maklum balas.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS