Angin kencang dan laut bergelora berlaku di perairan Sabah sewaktu kejadian bot tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hilang di perairan Pulau Mengalum, Sabah, semalam.
Jurucakap Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia dilaporkan berkata, angin kencang dan laut bergelora itu berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam.
"Keadaan pada waktu itu agak bergelora dan ombak pun agak tinggi (3.5 meter), jadi memang berbahaya.
“Pihak kami telah mengeluarkan amaran kategori pertama tersebut bermula Selasa lalu sehingga 8 Oktober ini," jurucakap itu dipetik sebagai berkata ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam kenyataannya berkata bot tempur itu belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi Ahad sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring tersebut pada 11.15 pagi.
Sehingga kini, lima aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tiga aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta satu pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot tempur TLDM yang hilang itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama juga melaporkan Aziz sebagai yakin, tujuh anggota dalam bot itu masih selamat, kerana bot CB90 itu memiliki ciri apungan yang tinggi.
