Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada peruntukan SJK dalam perlembagaan'
Diterbitkan:  Oct 9, 2014 1:13 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata memang tiada peruntukan dalam perlembagaan yang membenarkan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Menurutnya lagi, tiada juga peruntukan yang melarang kerajaan membantu, mewujudkan atau membenarkan penubuhan sekolah itu, lapor Sinar Harian hari ini.

Dalam temubualnya dengan akhbar itu, Mohd Noor menjelaskan jika penubuhan sekolah itu dibuat oleh kerajaan maka ia dikira "secara ihsan" dan tidak boleh ada pertubuhan mendesak kerajaan bantu SJK.

"Sekolah persendirian, sekolah Cina, Tamil dan sekolah apa bangsa sekalipun di negara ini, yang nak belajar bahasa ibundanya, buatlah, teruskanlah tapi kena tanggung sendiri.

"Katakan orang Cina nak belajar bahasa Cina, mereka boleh buat sekolah tanggungan sendiri. Jadi sekarang ini hanya ada dua jenis sekolah iaitu sekolah ditanggung kerajaan dan sekolah dibiayai masyarakat.

"Jadi mana kita nak letak SJK kalau merujuk kepada perkara 152? Memang tiada peruntukan membenarkan penubuhan SJK menurut Perlembagaan," katanya dalam temubual itu.

Beliau menjawab soalan berhubung kedudukan SJK mengikut Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan susulan cadangan Timbalan Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Utara Mohamad Azli Mohemed Saad yang mahu isu sekolah itu dibahas dalam Perhimpunan Agung Umno.

Dalam temubual itu juga, Mohd Nor menegaskan dalam perlembagaan bahasa Melayu ada bahasa kebangsaan tetapi tiada siapapun boleh disekat dan dihalang dari menggunakan, mengajar atau belajar bahasa lain.

"Dari satu sudut, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk perkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menyediakan sekolah untuk mengajar dan belajar bahasa Melayu.

SK bukan sekolah Melayu

"Malah bahasa Melayu yang asalnya ditulis dalam tulisan jawi diganti dengan tulisan rumi bagi memudahkan semua orang belajar bahasa Melayu. Kerana itu, kerajaan sediakan sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu," katanya dipetik.

Dari sudut yang lain pula, Mohd Noor berkata tidak boleh dihalang terus dan disekat sesiapa sahaja yang mahu mengguna, belajar atau mengajar bahasa ibundanya pada bila-bila masa atau di mana sahaja kerana ia adalah hak individu.

"Siapa individu ini? Boleh jadi mereka adalah warga negara Malaysia, permastautin atau pelancong di sini. Yang kebanyakan orang tidak faham ialah guna, belajar dan mengajar secara sendirian.

"Kerajaan tidak campur dan kerajaan tidak (perlu) sediakan sekolah atau kelengkapan. Ini urusan peribadi individu tersebut. Itu yang kita kena faham," katanya.

Ditanya mengenai cara penyelesaian isu sekolah vernakular, Mohd Nor mencadangkan sekolah jenis kebangsaan dijenamakan sebagai sekolah kebangsaan berbanding dihapuskan untuk mengelak rasa "sakit hati" orang ramai.

"Tetapi siapa nak belajar bahasa ibunda masing-masing, sediakan kemudahan itu. Keperluan untuk pelajari bahasa ibunda tidak akan memakan masa lama.

"Dalam tempoh tiga tahun dah boleh fasih. Kita masih pelihara tradisi setiap masyarakat dan dalam masa yang sama tidak jejaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

"Tapi kalau masing-masing bergaduh, ada yang nak pertahan SJK, ada yang nak mansuhkan, musnahlah negara kita," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mencadangkan supaya kerajaan menyediakan sekolah kebangsaan itu di mana semua pelajar tak mengira bangsa belajar bawah satu bumbung, berkongsi padang dan kantin yang sama.

"Ketika itu tiada siapa mempersoalkan. Di Singapura, hanya ada satu sekolah, semua pelajar bahasa pelbagai bahasa di situ. Kalau mereka boleh terima sistem begitu, kenapa kita tidak?" soal Mohd Noor.

Lihat Komen
ADS