Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kenaikan harga barangan melampau selepas pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen boleh menyalurkan aduan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dengan segera.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata selain itu, aduan boleh juga dibuat kepada Skuad Pengguna yang ditubuhkan di setiap daerah agar tindakan dan pemantauan dapat dilakukan dengan berkesan oleh pihak penguat kuasa.

Beliau berkata antara tugas Skuad Pengguna adalah untuk menangani masalah pengguna yang terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak relevan yang membebankan pengguna.

"Semalam ada seorang penduduk jumpa saya dan beritahu terdapat beberapa kedai barangan runcit di sekitar Alor Setar sengaja menaikkan harga barangan keperluan harian pada harga yang tidak munasabah dengan alasan kenaikan harga minyak.

"Walaupun ia bukan laporan rasmi tetapi kita memandang serius perkara itu dan akan gerakkan penguat kuasa PPDNKK untuk memantau pemilik kedai runcit dan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2010," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengguna Daerah Kubang Pasu di Sekolah Kebangsaan Tok Kepak, Jerlun di Jitra hari ini.

Beliau berkata sekiranya terdapat aduan daripada pengguna, ia memudahkan penguat kuasa melakukan serbuan di kedai runcit terlibat serta mendapatkan bukti kukuh kegiatan mereka yang sengaja mengambil kesempatan atas pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata Kelab Pengguna Sekolah dan Skuad Pengguna yang ditubuhkan di setiap daerah di seluruh negara perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan berhubung isu terkini seperti pengurangan subsidi minyak dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).

Katanya ini kerana mereka lebih dekat dengan orang ramai dan mengetahui kecelaruan berkaitan isu tersebut yang perlu diperbetulkan dengan segera bagi memastikan rakyat faham mengenai CBP dan subsidi minyak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS