Walaupun laporan ekonomi perbendaharaan menyatakan kadar inflasi akan melebihi 4 peratus pada 2015 sejajar dengan perlaksanaan GST, namun Datuk Hasan Malek yakin kenaikan harga barang tidak akan menjurus ke arah inflasi yang tinggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata kerajaan mempunyai mekanisme untuk memantau kenaikan indeks harga pengguna (IHP) untuk memastikan harga barang dalam keadaan terkawal.
Menurutnya lagi, kerajaan akan mengumpul statistik setiap bulan bagi menilai kedudukan indeks harga pengguna.
"Setahu saya, indeks harga pengguna bulan lepas dalam 3.2% saja, mungkin ada naik turun. Tapi saya cukup yakin ini tidaklah menjurus ke arah inflasi yang tinggi esok, dengan adanya barang dikecuali dan sebagainya.
"Tiap bulan memang ada statistik, kita masih mampu mengawal inflasi itu kerana kita ada mekanisme untuk memantau kenaikan IHP bagi membolehkannya dalam keadaan terkawal.
"Kita akan ambil langkah untuk mengawalnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan forum halal 2014 di UCSI University di Kuala Lumpur.
Katanya, pegawai pemantauan harga di seluruh negara akan pergi pasar dan kedai tertentu setiap pagi untuk mengutip harga barangan ini sebelum disalurkan kepada kementerian.
"Kita ada mekanisme di mana kita analisa angka-angka itu untuk membolehkan kita letak paparan indeks harga untuk beberapa barang untuk kemudahan membuat pilihan atau perbandingan," katanya
Menteri berkata inisiatif kerajaan ini sebagai usaha untuk mewujudkan "win-win situation" antara peniaga dan pengguna termasuk mengawal harga barang sempena perayaan tertentu, termasuklah Deepavali ini.
Harga ayam, kacang dal rendah
"Saya sangat gembira untuk tahu harga ayam dan kacang dal adalah lebih rendah daripada tahun lepas, ini berita baik untuk India yang meraikan Deepawali," katanya.
Mengenai kritikan Persatuan Industri dan Perniagaan Cina Malaysia (ACCCIM) berhubung kejatuhan harga 4.1% bagi 532 atau 56% barangan tidak mungkin berlaku selepas perlaksanaan GST, Hasan berkata, ia hak persatuan untuk membuat komen.
"Kita akan senaraikan barangan yang akan dikecualikan cukai, kita tak pernah berbohong, Ini hak mereka untuk memberi pandangan," katanya.
Kerajaan mengumumkan bahawa sejajar dengan perlaksanaan GST, sebanyak 532 atau 56 peratus harga barangan akan jatuh harga sebanyak 4.1 peratus, namun Persatuan Industri dan Perniagaan Cina Malaysia (ACCCIM) berkata ini tidak mungkin berlaku.
Persatuan berkata, ini hanya dilihat dari segi teori bahawa harga barang akan jatuh 4% dengan perlaksanaan 6 peratus GST, namun kos perniagaan syarikat akan bertambah, maka tidak mungkin harga barangan akan turun.
Sementara itu, Hasan berkata, eksport produk halal Malaysia telah mencapai nilai RM9.2 bilion dalam kuarter pertama tahun ini.
Beliau berkata, produk eksport utama adalah daripada produk makanan dan minuman yang mencatat nilai eksport sebanyak RM3.5 bilion atau 39.9 peratus daripada jumlah nilai eksport.
"Ini diikuti dengan produk halal ingredients bernilai 3.0 billion, derivatif minyak sawit bernilai RM1.4 billion, barangan kosmetik dan produk penjagaan bernilai RM573 juta, industri kimia bernilai RM524 juta dan farmaseutikal bernilai RM113 juta" katanya.
