Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 15 hutan simpan kekal di Perak didakwa dimansuhkan dan tidak diganti sejak tahun lima tahun lalu dan keluasannya kini dikatakan mencecah 10,000 hektar.

NGO pencinta alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, kawasan-kawasan itu semakin diancam ekoran aktiviti pertanian, perbandaran, pembinaan lebuh raya dan empangan.

Penyelidik SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, angka itu membimbangkan dan jika pihak berkuasa tidak bersungguh-sungguh memeliharanya, tidak mustahil tiada lagi hutan simpan kekal di negeri itu.

“Kes terbaru ialah Hutan Simpan Ijok di Perak yang menjadi pusat tadahan air telah dimansuhkan sepenuhnya.

“Ini yang kami bimbangkan, kes seperti ini (pemansuhan hutan simpan) sebenarnya sudah berlaku sejak Mei 2009 sehingga sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Beliau juga mendakwa, sejak beberapa tahun kebelakangan ini pihak berkuasa negeri tidak merujuk kepada Jabatan Perhutanan untuk mendapatkan ulasan untuk pemansuhan yang bakal dilakukan.

“Kita agak kecewa kerana hutan simpan kekal semakin berkurangan dari tahun ke tahun, keluasan di Malaysia adalah 50 peratus (kawasan berhutan) menyusut kepada 47 peratus.

“Walaupun 1 peratus tetapi mengikut skala hektarnya adalah besar, jadi kita bimbang kalau kurang daripada 45 peratus ia akan memberi kesan kepada persekitaran,” tegasnya lagi.

Meor juga berkata, pemansuhan hutan simpan turut menyebabkan terancamnya spesis dilindungi seperti yang berlaku di Bikam melibatkan pokok keriung paya.

“Kami sudah persoalkan perkara itu kepada pihak berkuasa negeri tetapi sampai ke hari ini mereka tidak memberikan sebarang jawapan,”katanya.

Beliau menjelaskan, SAM tidak menafikan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri tetapi tidak dapat menerima jika pemansuhan dilakukan semata-mata untuk kepentingan pembangunan dan ekonomi.

Tak selaras dengan rancangan

Sementara itu, SAM turut membangkitkan amalan pemansuhan hutan Perak yang menurutnya tidak selaras dengan Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Dasar Perhutanan Negara.

“Contohnya hutan simpan Ijok yang menjadi pusat tadahan air. Bila kita sebut tadahan air maksudnya ia penting kepada manusia.

“Dengan krisis air yang melanda negara sekarang, sepatutnya kita lebih menjaga kawasan tersebut sebagai sumber bekalan air.

“Tapi pihak berkuasa makin kurangkan pula sumber bekalan air, sepatutnya ia perlu ditambah sebab kita negara membangun semakin maju, jadi kapasiti air perlu seimbang dengan keperluan penduduk,” jelas Meor.

Malaysiakini sudah menghubungi exco alam sekitar negeri dan Jabatan Perhutanan Perak dan masih menunggu reaksi pihak terbabit.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS