Ramai mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah Natrah, gadis Belanda yang berusaha mengekalkan agamanya sehingga banyak nyawa yang terkorban dalam Rusuhan Natrah pada tahun 1950.
Namun tidak ramai yangt tahu tentang peguam Natrah, Ahmad Ibrahim yang namanya kini diabadikan sebagai nama sekolah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Malam tadi, sekumpulan pelajar kuliah undang-undang UIAM merakamkan penghargaan kepada tokoh tersebut melalui pementasan teater “Tribute Mock Trial Of Ahmad Ibrahim”.
Prof Ahmad Ibrahim merupakan bapa perundangan Malaysia dan juga sosok penting yang memperjuangkan kes Natrah pada tahun 1950.
Ahmad Ibrahim adalah individu yang bertanggungjawab dalam memisahkan perundangan sivil dan syariah mengikut fasal 121 (1a) yang mana kisah beliau telah dipentaskan di Universiti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malam tadi.
Teater yang berlangsung hampir tiga jam itu menceritakan kisah benar seorang Prof Ahmad Ibrahim yang melawan kuasa perundangan sivil untuk memastikan agama Islam yang dianuti oleh wanita Belanda yang bernama Natrah atau Maria Huberdina Hertogh kekal.
Kes berat ini berjaya difahami dengan mudah apabila mereka menggunakan muzik tarian dan penataan cahaya yang bagus bagi menggambarkan tiap suasana yang berlaku.
Seramai 2,000 hadirin memberikan tepukan gemuruh apabila pelakon yang memegang watak Ahmad Ibrahim muncul dan membacakan fasal bagi memenangkan kes Natrah.
Teater ini turut menceritakan apabila Natrah telah diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya yang ditawan tentera Jepun.
Sejak ditinggalkan bersama Che Aminah, Natrah dipelihara dan menjalani hidup dalam suasana dan budaya Islam.
Menang kes rayuan
Namun apabila bapanya Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS), dia pulang ke Bandung, Jawa untuk mencari anaknya Natrah yang ketika itu berada di Terengganu.
Penonton teater mula terdiam bagaimana reaksi Ahmad Ibrahim apabila ketika babak konflik perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda.
Che Aminah yang diwakili peguam Ahmad Ibrahim menang dalam kes rayuan dan Natrah dikembalikan ke pangkuannya namun kerana takut peristiwa berulang.
Dewan bertukar ceria dengan sorakan penonton apabila babak tarian romantis Natrah bersama Cikgu Mansor Adabi dan mereka bernikah gantung di Singapura.
Natrah pada ketika itu berusia 13 tahun manakala Mansor berusia 22 tahun.
Sungguhpun undang-undang Syariah Islam membenarkan perempuan berkahwin dalam usia tersebut namun mengikut Undang-Undang Belanda, kehidupan seorang anak yang berumur di bawah usia 16 tahun ditentukan oleh bapa kanak-kanak tersebut.
Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.
Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.
Penonton yang hadir mula menjerit dan gelisah apabila babak pergelutan antara tentera dan polis British, sehingga Singapura mengenakan perintah berkurung selama dua hari dua malam .Seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera.
Walaupun kes ini tidak memihak kepada Ahmad Ibrahim, namun teater ini menggambarkan kesungguhan peguam ini membela Natrah.
146 pelakon
Selain barisan pelakon utama, teater muzikal Ahmad Ibrahim ini turut melibatkan 146 pelakon lain dari jurusan undang-undang.
Putra Haziq Mohamed yang memegang watak Prof Ahmad Ibrahim mengakui kesukaran melakonkan watak utama apabila perlu berhati-hati dalam mementaskan teater ini.
“Ahmad Ibrahim seorang yang sangat sangat merendah diri, beliau tidak ada dalam mana-mana video, kerana beliau tidak suka media jadi sukar untuk saya mengenali beliau”.
“Saya banyak membaca buku, risalah-risalaah yang menceritakan karakter Ahmad Ibrahim agar dapat mengenali Ahmad Ibrahim dengan lebih dekat,” tambahnya.
Pelajar tahun empat fakulti undang-undang ini tertekan dengan masa latihan yang sangat suntuk kerana perlu menghadiri kelas dan jadual kuliah antara pelakon tidak sama.
Natasyha Aliyya yang memegang watak Natrah berkata beliau berpengalaman mendalami perasaan gadis Belanda dan membuatnya menjadi kuat.
“Saya gambarkan dalam diri sendiri dan cuba kaitkan dalam diri sendiri bagaimana kehidupannya dan bagaimana saya ditempat Natrah apa yang saya akan buat.
“Natrah seorang yang sangat kuat, untuk seorang yang muda 13 tahun adalah umur yang sangat muda untuk ditempuhi pada masa itu, ia menjadikan saya juga kuat,” ujarnya.
Sementara itu, pengarah teater mock trial Ahmad Ibrahim, M Aimanuddin Aiman menjelaskan beliau merangkumkan tiga elemen seperti muzikal, instrumental dan lakonan biasa agar ianya menjadi lebih menarik dan mudah difahami.
