Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ISMA: Melayu perantau, bukan pendatang
Diterbitkan:  Oct 24, 2014 9:23 AM
Dikemaskini: 6:56 AM

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) percaya bahawa orang Melayu lebih sesuai ditakrif sebagai “perantau” dan bukannya “pendatang”.

Naib presidennya, Muhammad Fauzi Asmuni turut mempersoalkan

sekiranya dakwaan pemimpin Gerakan, Tan Lai Soon yang mentakrifkan orang Melayu merupakan “pendatang” itu berasaskan kepada kajian tertentu.

“Jika dia merujuk bahawa orang Melayu yang duduk di Malaysia sekarang ini datang dari Sumatera, kepulauan Sulawesi, kepulauan Borneo, maka dalam sejarah, ianya tidak dipanggil bangsa pendatang,” kata Muhammad Fauzi.

Dalam wawancara disiarkan laman ismaweb.net itu, beliau turut menjelaskan bahawa golongan Melayu lebih sesuai ditakrif sebagai “perantau” kerana melibatkan golongan yang muncul dari segenap ceruk kepulauan Tanah Melayu.

“Tanah Melayu bukan merujuk kepada Malaysia sahaja. Tanah Melayu merupakan satu wilayah yang cukup luas,” katanya.

Menurutnya, sukatan kawasan Tanah Melayu itu meliputi kawasan kerajaan Champa di Vietnam, Sumatera, kepulauan Jawa dan Borneo.

“Jadi bila kita kata bahawa orang selain Melayu adalah 'pendatang', mungkin mereka akan sensitif dengan perkataan ‘pendatang’.

Pendirian terbuka

“Yang penting untuk kita katakan di sini ialah orang selain bangsa Melayu itu sebenarnya mereka ada tempat asalnya,” katanya lagi.

Beliau memberi contoh masyarakat Cina yang berasal dari Tanah Besar China dan juga orang India dari Tanah Besar India, selain keturunan Eropah.

Namun, beliau mengambil pendirian terbuka sekiranya masyarakat

berkenaan tidak senang dengan istilah “pendatang”.

“Jadi mereka ada tanah asal mereka, dan mereka datang ke sini. Kalau sensitif gunakan perkataan pendatang, gunalah apa-apa istilah pun.

“Tetapi mesti menunjukkan bahawa mereka itu datang dari tanah asal mereka dan masuk ke Tanah Melayu,” katanya lagi.

Beliau merujuk kepada ucapan Tan (atas) ketika membahas ucapan dasar presiden Gerakan di mesyuarat perwakilan nasional parti itu, Ahad lalu, yang mendakwa semua kaum termasuk Melayu merupakan pendatang.

Lihat Komen
ADS