Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

'Teliti semula perjanjian air jika berat sebelah'

Radzi Razak

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Menteri Besar Selangor Azmin Ali supaya tidak menerima seadanya perjanjian air kontroversi negeri itu, sekiranya benar ia hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Anwar yang juga MP Permatang Pauh berkata Azmin secara konsisten mahu memastikan perjanjian itu lebih telus.

"Saya pasti akan menasihatkan beliau (Azmin) untuk meneliti sekiranya perjanjian itu berat sebelah, maka tidak boleh meneruskan (untuk menerimanya) tanpa persoalan.

"Siapa yang mendapat untung? Saya tidak peduli sekiranya mereka berpangkat lebih tinggi tapi jika ia menyebabkan rakyat membayar lebih, saya fikir kita harus meneliti semula (perjanjian).

"Saya memandang berat isu ini dan saya tahu ini salah satu sebab beberapa orang yang berpangkat tinggi bermasalah dengan saya.

"Ia bukan peribadi tetapi jika anda 'bermain' dengan (terma) perjanjian, anda mengaut keuntungan dan anda hukum rakyat untuk membayarnya," kata beliau dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Semalam The Star melaporkan Azmin sebagai berkata beliau tidak akan menarik perjanjian antara kerajaan negeri dan pusat itu untuk memastikan bekalan air yang efisien dan berkualiti di negeri itu.