BERITA

Lapan deklarasi isu tanah rizab Melayu

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Okt 2014, 11:48 tengahari

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mengisytiharkan lapan deklarasi bagi memelihara tanah rizab Melayu yang semakin hilang akibat pembangunan.

Pengerusi Biro Pemantauan dan Integriti merangkap Naib Presiden Perkasa Syed Osman Syed Mansor berkata deklarasi itu ialah meminta kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk terus berpegang teguh kepada Perlembagaan bagi mengekal tanah rizab Melayu dan tanah-tanah pegangan Bumiputera di Malaysia.

"Kami juga memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk campur tangan dalam menangani isu kehilangan dan penyusutan tanah rizab Melayu dan tanah natif Bumiputera.

"Selain itu Perkasa mendesak pihak kerajaan supaya isu tanah rizab melayu dan tanah natif Bumiputera dijadikan sebagai isu nasional," katanya ketika membacakan deklarasi tersebut pada Wacana dan Forum Isu Tanah Rizab Melayu "Tragedi Bangsa dan Langkah Pembetulan Segera" di Pusat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan dua panel forum iaitu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi yang juga bekas Ketua Pengarah Tanah dan Galian Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Yusof dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Dr Mohd Hasrol Hafiz Aliasak.

Syed Osman berkata Perkasa juga mencadangkan kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya khas untuk meneliti penyusutan tanah rizab Melayu dan Bumiputera dan mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengganti semula tanah yang telah diambil.

Antara lain, Perkasa turut mendesak kerajaan supaya memastikan sebarang pertukaran syarat tanah rizab Melayu dan Bumiputera bagi tujuan pembangunan mesti mengambil kira faktor politik penghijrahan Melayu dan Bumiputera.

-Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.