Kerajaan mengarahkan Jabatan Insolvensi membekukan kesemua akaun dan aseti milik Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram semalam.
Ketua setiausaha Kementerian Dalan Negeri, Datuk Mohd Khalid Sharif, berkata keputusan itu dibuat selepas menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan haram mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.
Katanya, menteri itu mengisytiharkan PPS haram kerana "menjalankan aktiviti yang mengancam ketenteraman awam”.
Jelasnya, menteri berkuasa membuat perisytiharan itu bagi “mana-mana pertubuhan, cawangan atau peringkat atau jenis pertubuhan yang pada pendapatnya adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana tempat di dalamnya, ketenteraman awam atau akhlak”.
Susulan pengharam tersebut, kesemua aktiviti yang menggunakan nama atau lambang PPS juga dianggap haram, katanya dalam satu kenyataan.
“Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti PPS akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335.
“Saya menyeru kepada masyarakat untuk bekerjasama dalam membantu usaha kerajaan untuk membanteras aktiviti PPS yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada,” katanya lagi.
Laporan sebelum ini menyebut, Zahid mengisytiharkan PPS haram kerana tidak ditubuhkan melalui DUN sebagai undang-undang.
Menurut menteri tersebut, PPS juga tidak termasuk dalam Akta Rukun Tetangga 2012 atau Akta Kesukarelawan 2012.
