Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) mengesyaki bahawa kes pembayaran pencen kepada anggota yang sudah meninggal dunia berpunca daripada masalah dalaman yang berlaku di dalam Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Setiausaha Agungnya Tajul Ariffin Chu Johari berkata, kes melibatkan kerugian berjumlah RM17 juta itu tidak sepatutnya timbul kerana JHEV tahu apabila anggotanya sudah meninggal dunia.

Jelasnya, JHEV, sebuah jabatan bawah Kementerian Pertahanan, akan mengeluarkan bantuan sumbangan pengebumian kepada waris apabila seseorang anggota veteran meninggal dunia.

Oleh itu, PV-ATM mengesyaki bahawa bahagian yang mengendalikan wang pencen tidak bekerjasama dengan bahagian yang bertanggungjawab memberi bantuan sumbangan pengebumian di JHEV.

"Setiap veteran yang meninggal dunia, keluarga mereka akan mendapat bantuan pengebumian sebanyak RM3000 daripada JHEV iaitu wang yang diberi kerajaan.

"Jadi, sudah tentu (bila berlaku kematian) keluarga veteran yang meninggal itu mendapat bantuan. Jabatan yang kendali pengebumian mengapa tidak ada kerjasama dengan pihak yang urus pemberian pencen di JHEV.

“Masalah ini (pemberian kepada veteran yang dah meninggal) dapat dikurangkan sekiranya masalah dalaman JHEV dapat diselesaikan.

"Sepatutnya bahagian itu (sumbangan pengebumian) maklumkan pada bahagian pencen. Masalah dalaman JHEV mesti dibetulkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Oleh itu, Tajul berkata menyarankan agar Kementerian Pertahanan mengeluarkan arahan supaya JHEV bekerjasama dengan persatuan veteran tentera dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, perkara itu bertujuan bagi memudahkan pihak JHEV mengetahui sekiranya terdapat veteran tentera yang sudah meninggal dunia.

"Saya rasa kena ada kerjasama antara JHEV, JPN dan persatuan veteran. Kita kena buat satu mekanisme. Kementerian Pertahanan mesti keluar arahan dan arahkan JHEV bekerjasama dengan persatuan dan JPN kalau ada kematian.

"Ini kerana, persatuan merupakan antara yang terawal tahu sekiranya terdapat ahlinya yang mati," katanya lagi.

Isnin lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2013 menyebut, Kementerian Kewangan terus membayar pencen kepada veteran tentera walaupun sudah meninggal dunia, menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hampir RM12 juta.

Menurut laporan itu, JHEV membayar RM11.94 juta pencen untuk 3,786 orang veteran yang meninggal dunia antara 2011 dan 2013.

Lihat Komen
ADS