Para penjual dan penerbit buku tempatan masih keliru dengan jenis buku yang dikelaskan sebagai “kadar sifar” mengikut Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), walau kerajaan telahpun menerbitkan satu senarai.
Golongan berkenaan berpendapat, kerajaan sepatutnya meletakkan kesemua buku dalam senarai berkadar sifar untuk mengelakkan kekeliruan atau kategori salah.
Mengikut Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) 2014, buku tekas pelajar, buku rujukan, buku kerja, teks agama, kamus, ensiklopedia dan buku bergambar kanak-kanak, lukisan atau buku mewarna dikategorikan sebagai barangan berkadar sifar.
Selain daripada itu, kesemua jenis buku dikenakan enam peratus GST.
Namun, timbul masalah ekoran pelbagai jenis judul, rekabentuk dan rekaletak buku di pasaran yang menyebabkan penjual dan penerbit sukar memastikan sama ada cukai bagi sesuatu penerbitan itu berkadar sifar atau kadar enam peratus.
Mengulas perkara itu, setiausaha Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Arief Hakim Sani memberitahu Malaysiakini bahawa buku kanak-kanak paling sukar untuk dikategorikan.
“Katakanlah jika satu buku kanak-kanak hanya ada beberapa halaman ilustrasi, boleh ia dikategorikan sebagai buku bergambar kanak-kanak?
“Begitu juka jika satu buku kanak-kanak hanya ada beberapa halaman mewarna, boleh dikategorikan sebagai buku mewarna kanak-kanak?,” soalnya.
Beliau juga menyebut, hampir 18,000 buku baru diterbitkan setiap tahun untuk pasaran dalam negara.
