Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, menangkis dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ramai menteri kabinet menghantar anak mereka ke sekolah persendirian atau sekolah antarabangsa.

Khairy berkata, ramai di kalangan  menteri menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan termasuk Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, katanya, beliau sendiri turut menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan dan bukan sekolah persendirian atau sekolah antarabangsa.

"Saya hantar anak lelaki saya ke sekolah kebangsaan. Saya rasa kebanyakan menteri yang saya kenal, rakan-rakan saya di kabinet menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

"Ada persepsi mengatakan menteri hantar anak ke sekolah swasta, antarabangsa. Tetapi kebanyakan menteri saya kenal hantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Malah, menteri pendidikan pun hantar anaknya ke sekolah kebangsaan.

"Saya tak tahu mana persepsi ini datang,"  katanya pada sidang media di Menara KBS di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya mengenai satu tulisan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membangkitkan mengenai tindakan menteri kabinet yang menghantar anak masing-masing ke sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa.

Dalam tulisan di blognya itu, Mahathir menyebut bahawa sekolah antarabangsa aliran bahasan Inggeris itu semakin berkembang kerajaan memansuhkan sekolah menengah aliran bahasa Inggeris pada 1971.

Mengulas lanjut, ketua Pemuda Umno itu turut mengakui bahawa kewujudan sekolah antarabangsa dan swasta meluaskan lagi jurang antara kaya dan miskin.

Katanya, perkara itu harus diakui memandangkan dasar pendidikan terbuka yang diamalkan di negara ini, ia menyebabkan pelajar di sekolah swasta dan antarabangsa tidak bergaul dengan pelajar yang berada di sekolah kebangsaan.

"Sama ada ini tingkatkan jurang? Sudah pasti ia akan tingkatkan jurang. Mereka yang pergi ke sekolah swasta tidak akan bergaul dengan yang ke sekolah kebangsaan. Yang ke sekolah Cina tidak bergaul dengan yang ke sekolah kebangsaan.

"Tetapi inilah yang kita buat dalam menggubal dasar pendidikan negara.

"Kita telah buat pilihan untuk amalkan sistem pendidikan yang terbuka dan pelbagai. Dan salah satu kesannya ialah jurang tersebut," kata MP Rembau itu lagi.

Beliau seterusnya berharap, pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional akan dapat mengurangkan jurang antara miskin dan kaya di dalam sistem pendidikan.

"Kementerian Pendidikan dah bentangkan blueprint dan matlamatnya ialah untuk perbaiki sistem pendidikan yang ada di sekolah kebangsaan supaya kita jadikan sekolah kebangsaan ini sekolah pilihan bagi ibu bapa dan pelajar.

"Dan kalau dapat jayakan blueprint tersebut, saya percaya lebih ramai lagi yang akan ke sekolah kebangsaan," katanya lagi

Lihat Komen
ADS