Ogos lalu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) membayar sewa RM1.13 bilion kerana menggunakan 186 bidang tanah di seluruh Malaysia.
Memasuki Februari depan, ia akan membayar RM1.12 bilion lagi, meneruskan pembayaran sewa dua tahun sekali yang hanya akan berakhir pada 2017, selepas lebih RM29 bilion dibayar.
Tetapi FLC menggunakan tapak yang sama tanpa sebarang sewaan sebelum 2013.
Jadi kenapa ia harus membayar sewa sekarang dan membayar kepada siapa?
Jawapannya membawa kepada perjanjian berbelit-belit yang diketengahkan kerajaan ekoran penubuhan Pembinaan PFI Sdn Bhd, sebuah syarikat bertujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
PFI merupakan akronim daripada “private finance initiative” (inisiatif kewangan swasta), sebuah konsep untuk memacu pembangunan infrastruktur melalui modal swasta.
Konsep itu diumumkan dalam rancangan Malaysia ke-9, yang memperuntukkan belanjawan negara untuk semua sektor ekonomi bagi tempoh 2006-2010, untuk mendanai projek-projek pembangunan.
Bagi mencetuskan inisiatif itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan pinjaman RM20 bilion sebagai modal awal untuk Pembinaan PFI.
Laporan sebelum ini menyebut, ia meliputi peruntukan RM9.5 bilion untuk sektor pendidikan, RM1.6 bilion untuk perumahan, RM878 juta untuk kesihatan dan RM634 juta untuk pengangkutan.
