Mesyuarat bahagian Tanah Merah mungkin ditangguhkan
Mesyuarat Umno bahagian Tanah Merah di Kelantan yang dijadualkan pada 20 Julai depan, mungkin ditangguhkan sehingga jawatankuasa pemantau pemilihan Umno negeri selesai menyiasat aduan mengenai salahlaku calon-calon sepanjang berlangsungnya mesyuarat cawangannya.
Mesyuarat Umno bahagian Tanah Merah di Kelantan yang dijadualkan pada 20 Julai depan, mungkin ditangguhkan sehingga jawatankuasa pemantau pemilihan Umno negeri selesai menyiasat aduan mengenai salahlaku calon-calon sepanjang berlangsungnya mesyuarat cawangannya.
Ketua penaja Umno bahagian, Datuk Hashim Safin mengesahkan beliau telah mengemukakan aduan mengenai perkara itu minggu lalu kepada jawatankuasa pemantau negeri dan Jawatankuasa Disiplin Umno Pusat.
Beliau memberitahu
malaysiakini
bahawa laporan yang sama juga turut dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Pengurusan Umno.
Katanya, beliau diberitahu bahawa jawatankuasa pemantau negeri mungkin terpaksa menangguhkan tarikh mesyuarat agung bahagiannya kerana memerlukan masa untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Umno bahagian Tanah Merah mempunyai 106 cawangan yang telahpun selesai bermesyuarat di mana 44 bahagian mencalon Hashim untuk mempertahankan kerusinya, manakala pencabarnya Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang juga Exco Pemuda Umno, memperolehi 58 pencalonan.
Aduan-aduan tersebut berkaitan dengan dakwaan penggunaan wang, penggunaan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menyokong calon tertentu, dan penggunaan samseng.
Hadir mesyuarat
Difahamkan, dalam aduannya itu, Hashim, yang juga ADUN Gual Ipoh, mendakwa sebanyak 30 buah kereta digunakan untuk membawa pelajar-pelajar UiTM serta samseng-samseng untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat cawangan.
"Saya telah mengemukakan laporan awal mengenai aduan tersebut minggu lalu. Manakala laporan terperinci akan dihantar kemudian," katanya.
Hashim juga mendakwa beliau telah memperolehi akuan bersumpah daripada pelajar terbabit, yang akan dikemukakan kepada jawatankuasa pemantau negeri, Jawatankuasa Disiplin dan Najib.
Sementara itu, sumber-sumber Umno bahagian memberitahu malaysiakini bahawa pada awalnya pihak UiTM negeri telah membenarkan pelajar-pelajar dibawa menghadiri mesyuarat-mesyuarat cawangan untuk mendedahkan mereka mengenai perjalanan mesyuarat.
"Bagaimanapun, kami difahamkan, pihak UiTM tidak mengetahui bahawa pelajar-pelajar berkenaan telah didaftarkan menjadi ahli di cawangan-cawangan berkenaan untuk mengundi bagi calon tertentu," tambahnya.
Langgar Auku
Bagaimanapun, katanya, selepas menyedari perkara tersebut, pihak UiTM telah mengarahkan kebenaran yang diberi sebelumnya, dibatalkan serta-merta.
Menurutnya, tindakan berkenaan jelas melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang tidak membenarkan pelajar universiti aktif dalam politik.
Sehingga ini, enam penyandang Ketua Umno bahagian di Kelantan diisytihar menang tanpa bertanding untuk jawatan tersebut selepas tamatnya semua mesyuarat Umno cawangan di bahagian-bahagian Rabu lalu.
Keenam-enam ketua Umno bahagian tersebut ialah Datuk Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Annuar Musa (Ketereh), Datuk Noor Zahidi Omar (Tumpat), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Ramzi Abdul Rahman (Kuala Krai) dan Datuk Dr Awang Adek Hussin (Bachok).
Manakala lapan bahagian lain, termasuk Tanah Merah, diberi tempoh sehingga Sabtu lepas untuk menghabiskan perjalanan mesyuarat di peringkat cawangan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.