Anti-insinerator mahu tindakan pada kementerian
Sebuah kumpulan anti-insinerator membuat laporan polis hari ini menggesa pihak polis mengambil tindakan berdasarkan syor dan penemuan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
PAC, dalam laporan yang dikeluarkannya bulan lepas, membuat kesimpulan bahawa beberapa pegawai tinggi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, termasuk ketua setiausaha, ketua pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, kontraktor insinerator XCN Teknologi , dan dua orang pakar, gagal menjalankan tanggungjawab untuk meneliti cadangan pemilihan teknologi untuk insinerator tersebut.
Dengan berpakaian hijau, beberapa ahli Gabungan Anti Insinerator Kebangsaan (GAIK) hadir di balai polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur pagi ini untuk membuat laporan itu.
Pada masa yang sama, wakil-wakil gabungan itu juga akan membuat laporan polis yang sama di Cameron Highlands dan Batu Pahat.
Menurut penyelaras GAIK, Lam Choong Wah, laporan itu dikeluarkan pada 11 November dan pihaknya telah memberi masa sebulan kepada kerajaan pusat, tetapi tiada tindakan yang diambil.
"Oleh kerana mereka tak ambil tindakan, maka kami memutuskan untuk ambil tindakan," kata Lam.
Kumpulan itu juga mahu pihak berkuasa menghentikan operasi insinerator XCN Teknology di Cameron Highlands, Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Pangkor.
GAIK juga menggesa supaya tender untuk projek insinerator Kepong digugurkan sehinggalah siasatan polis selesai.
Menurut Lam (kanan), laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang disarankan kepada kumpulan itu oleh pihak polis.
Perkara itu juga akan dibawa ke Parlimen, katanya ketika ditanya apa yang akan dilakukan kumpulan itu sekiranya polis tidak mengambil tindakan.
Turut hadir ialah Ketua Biro alam sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar dan wakil GAIK Pangkor, Tan Ching Seong.
Zulkefly berkata, gabungan itu akan mengadakan mesyuarat meja bulat di Shah Alam bulan depan, dengan exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi pengurusan sisa dari tiga negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat - Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.
"Pada masa yang sama, kita mempunyai contoh beberapa teknologi yang akan dibentangkan kepada pakar pengurusan sisa, syarikat berkaitan kerajaan dan NGO.
'Kita akan menilai produk itu dan memilih cadangan yang terbaik, yang kita akan bentangkan kepada tiga negeri berkenaan.
"Kerajaan pusat dan negeri-negeri BN telah memilih insinerator, yang kita tidak perlu," kata Zulkefly, sambil menambah bahawa gabungan itu mempunyai penyelesaian alternatif kepada insinerator.
Sementara itu, menteri berkenaan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, dalam twitternya, berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat mengenai insinerator mini.
Beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.