BERITA

'3 naib Umno belum layak ganti Najib'

Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Dis 2014, 11:50 tengahari

Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan ramai tokoh dalam Umno layak menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, penganalisis politik melihat perkara itu sebaliknya.

“Belum ada yang menonjol sangat, Najib sangat diterima.

“Mungkin orang Melayu menolak dia, (tetapi) bukan Melayu melihat dia alternatif terbaik yang ada,” kata ahli akademik terkenal Prof Jayum Jawan ( bawah ).

Mahathir dalam wawancara disiarkan Sinar Harian sebelum ini berkata ramai lagi pemimpin dalam Umno layak menggantikan Najib sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, kata bekas perdana menteri, Umno tidak memberikan peluang kepada mereka.

Mahathir tidak menamakan individu itu.

Sementara itu, Timbalan ketua kluster politik Majlis Profesor Negara (MPN) itu juga berkata, kepimpinan Najib masih boleh diterima oleh rakyat Malaysia pelbagai kaum yang berfikiran moderat.

“Moderat Melayu, Cina, India, Sabah dan Serawak masih boleh menerima Najib,” katanya kepada pemberita.

Terlalu cepat ulas

Sementara itu, beliau juga berkata, naib-naib presiden Umno – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk seri Hishammuddin Hussein – masih belum mencapai standard sebagai pengganti Najib.

“ Barisan kedua perlu dibina, tiga naib presiden yang belum mencapai standard kerana terlalu cepat berdialog, dan beraksi.

“Orang yang ada wisdom (kebijaksanaan) harus jadi orang yang terakhir mengulas.

“Kadang-kadang tak bermalam (belum seharian) mereka sudah respons (sesuatu isu),” ujarnya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.