Most Read
Most Commented
Read more like this

Risalah yang menyeru pelajar agar kembali kepada "perjuangan menegakkan ketuanan Melayu bersama Umno" disebarkan sejak tiga minggu lalu di Universiti Teknologi Malaysia.

Risalah itu yang juga meminta pelajar meninggalkan PAS diedarkan oleh sebuah persatuan yang dikenali "Persatuan Ketuanan Melayu cawangan UTM."

Tiga jenis risalah berbeza diletakkan di papan-papan kenyataan kolej kediaman pelajar dan masjid universiti itu (Masjid Sultan Ismail), dalam tempoh tersebut di kampus Skudai, Johor.

Risalah itu antara lain, meminta siswa "bersyukur kepada Umno dan Barisan Nasional kerana menyediakan biasiswa" dan "mereka yang tidak bersyukur kepada Umno bermakna tidak bersyukur kepada Tuhan."

"Mereka ini (PAS dan pelajar Islam) terlalu tertutup sehinggakan fanatik dari segi penampilan seperti berjanggut, dan berserban serta berkopiah. Wanita mereka jumud dengan berpakaian seperti guni beras.

"Contohilah penampilan seperti Dato' Rafidah Aziz dan para wanita UMNO. Mereka juga suka membangkitkan hukum-hukum zalim zaman silam seperti potong tangan dan sebat orang.

"Mereka tidak sedar bahawa perundangan seperti ini sudah tidak sesuai pada zaman moden ini," risalah bertarikh 22 September lalu yang bertajuk "Tegakkan Ketuanan Melayu" itu dipetik.

Akta Universiti dan Kolej Universiti, seksyen 12 (1) melarang pelajar menerbitkan, membahagi-bahagikan atau mengedar apa-apa dokumen sama ada di dalam atau luar kampus tanpa kebenaran Naib Canselor sesebuah universiti.

Apabila dihubungi pagi ini, seorang kakitangan Hal Ehwal Pelajar menyebutkan "persatuan ketuanan Melayu" tidak wujud secara sah di universiti itu.

"Belum ada permohonan," kata sumber itu, apabila ditanya tentang pendaftaran persatuan berkenaan.

Sumber yang sama menyebutkan bahawa HEP tidak dimaklumkan tentang pengedaran risalah-risalah berhubung perkara itu.

Aduan kepada menteri

Presiden persatuan mahasiswa universiti itu (PMUTM), Suhaimi Mohammed Saaid berkata tindakan kumpulan tertentu menyebarkan risalah tersebut sebagai "satu strategi provokasi dalam kampus" dengan tujuan menghasut pelajar menyokong parti kerajaan.

PMUTM mendakwa kebanyakan pelajar di universiti menyifatkan tindakan "persatuan" itu sebagai "melampau" kerana menghina kumpulan pelajar Islam.

"Saya akan membawa perkara ini kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad," jelas Suhaimi kepada malaysiakini .

Pemimpin pelajar itu dijadualkan bertemu Musa pada Jumaat ini di Kuala Lumpur.

Beliau turut bercadang membuat aduan kepada HEP berhubung isu itu.

Bagaimanapun, kata Suhaimi, PMUTM masih memberi ruang kepada "persatuan" terbabit untuk tampil ke hadapan agar dapat berbincang secara akademik.

Kakitangan HEP mengesahkan PMUTM belum melaporkan kejadian itu kepada pihaknya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS