"Aku tak pro, tak juga anti." - Uji
Filem Ophilia menerjah kita seperti muzik oi! itu sendiri. Bermula dengan gasar, irama Ophilia bergerak senada untuk seketika. Setelah audiens mula sajak dengan mood irama, perubahan mendadak dirasai pada separuh jalan hingga langsung membawa ke konklusi mendadak.
Setelah itu, apabila diamati semula bait lirik, baharu akan disedari sekalian sentimentaliti yang cuba disematkan melalui tema persahabatan.
Ya, Ophilia hakikatnya adalah sebuah filem tentang persahabatan. Budaya skinheads yang diwarkan-warkan hanya pendokong untuk memberi laluan buat tema yang lebih besar.
Tidak dinafikan, ia penting bagi memahami para karakter ini - mengapa mereka terkeluar dari kitaran masyarakat, mengapa mereka begitu mengangkat sahabat handai di sisi, dan mengapa mereka terlibat dengan masalah yang dipaparkan.
Bagaimanapun, kisah ini boleh sahaja diterjemah ke dalam subbudaya yang lain seperti otaku, hipster, mahupun, seperti kata pengarah Raja Mukhriz sendiri, mat rempit.
Ini merupakan filem sulung arahan Mukhriz, dengan menggunakan sebuah subbudaya yang beliau membesar bersama namun tidak pernah terlibat. Oleh kerana itu, setiap sudut filem ini amat terasa kebenarannya.
Kod skinheads
Wasilah di antara tiga watak utamanya iaitu Uji (Pekin Ibrahim), Ozi Gandum (Que Haidar) dan Totoi (Kodi Rasheed) tidak pernah berkembang dengan nada yang salah. Kita percaya mereka adalah sahabat, gemar meluangkan masa bersama-sama dan sanggup bergadai nyawa demi satu sama lain.
Pada era filem Melayu terlalu gemar mendepankan mesej dari cerita (yang sewajarnya lebih mandatori), Ophilia secara tidak langsung memberi kesegaran. Mukhriz dan penulis skrip Ellyna Ahmad cukup bijak tidak mengutuk mahupun memuji golongan skinheads.
Golongan anarkis ini tidak mahu tunduk kepada autoriti sekali gus membuatkan mereka dipandang seorang dari masyarakat. Dan dari persisihan itulah kita sekurang-kurangnya dapat saling berhubung kait dengan watak-watak ini.
Oleh kerana itu, mereka tiada lain hanya mempunyai satu sama lain. Mukhriz dan Ellyna jelas cukup kagum dengan kod-kod yang digenggam skinheads, namun mereka sesekali tidak pernah meromantikkannya.
Ia adalah sesuatu yang sukar diimbangi, namun saya percaya golongan skinheads sendiri cukup berpuas hati dengan pendekatan ini.
Hampir separuh pertama cerita ini didedikasikan khas untuk mengenali para karakter dan kultur skinheads, dan ini hampir-hampir melumpuhkan naratifnya. Namun seperti lagu oi!, tidak semena-mena berlaku turning point di pertengahan (sekali gus memberi makna tajuk filem ini yang evokatif).
Dari sebuah kisah persahabatan yang ringan, ia berubah menjadi thriller . Pun begitu, situasi para wataknya disampaikan dengan jelas dan jujur tanpa manipulasi berlebihan. Setiap seorang adalah insan kompleks yang dikemudi dek kehendak dan ketakutan.
Filem tempatan terbaik 2014
Para pembikin filem ini berminat membawa kita melihat pertembungan elemen-elemen ini tatkala situasi semakin berada di luar kawalan.
Ketika klimaks, tekanan semakin dirasai, menjadikan keadaan semakin klaustrofobik. Kamera sinematografi Afiq Mohsin kian mendekati para karakter, melahirkan lebih urgensi.
Malangnya, setelah cantik diceritakan di sepanjang durasi, Ophilia tidak dapat mendarat dengan baik di penamat. Nah, memanglah ia tergesa-gesa seperti setiap pengakhiran lagu oi!, namun ia tidak memberi kepuasan sinematik yang didambakan.
Tambahan pula, ia diselesaikan dengan cukup nihilistik tanpa sebarang harapan. Setelah Lelaki Harapan Dunia, saya hanya mengharapkan sesuatu yang lebih optimis di sini.
Natijahnya, itu barang kali kurang penting. Saya memberi perhatian penuh sepanjang Ophilia ditutur, dan bagi sebuah filem Melayu itu adalah sebuah keajaiban.
Jika Mukhriz berjaya mengekalkan semangat dan kejituan ini ke dalam filem-filemnya akan datang, Malaysia bakal mempunyai sutradara baharu yang wajar diberi perhatian.
Dengan cerita jalanan begini - yang bercakap secara terus mengenai pergesaran antara struktur kuasa, kelas, ideologi dan manusia-manusia yang terperangkap di celah, Mukhriz bukan sahaja menghasilkan filem sulung yang baik; malah filem tempatan terbaik sepanjang tahun.
