BERITA

PKR: K'tan patut fokus zakat, bukan hudud

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Dis 2014, 11:47 tengahari

PAS Kelantan harus mengutamakan keadilan sosial seperti agihan zakat dan bukannya pelaksanaan undang-undang hudud, kata ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa Koya.
Gesaan itu dibuat selepas kerajaan PAS Kelantan mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan adakan sidang khas Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2014) pada 29 Disember dan akan meneruskan hasratnya membawa rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dilakansakan di Kelantan.
Latheefa berkata, pengagihan kekayaan kepada golongan miskin dan yang memerlukannya adalah jauh lebih penting daripada pelaksanaan hukuman di bawah versi hudud PAS.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata sebarang peraturan yang menyimpang dari keadilan kepada ketidakadilan atau dari kebaikan bersama kepada kemudaratan, bukanlah sebahagian daripada syariah.
Beliau menambah, Kelantan terutamanya, harus menyusun semula pentadbiran zakat untuk memastikan ia mematuhi prinsip-prinsip Islam, kerana ia adalah antara negeri yang paling miskin.
Latheefa menegaskan tentang pentingnya zakat yang merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam.
Katanya, ketegasan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud, menunjukkan kegagalan untuk memahami keutamaan dalam urus tadbir Islam.
"Terdapat agenda politik yang jelas di sebaliknya," katanya lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.