Ekoran keadaan banjir semakin "mencemaskan", Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob meminta semua masjid dan surau di negeri itu mengadakan solat hajat bermula hari ini.
"(Ia) bagi memohon kepada Allah agar dilindungi rakyat negeri Kelantan khasnya dan Malaysia amnya daripada segala musibah banjir yang tidak mampu dihadapi oleh kudrat manusiawi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad, semua pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Halaqat dan guru pondok diharap mengepalai masyarakat bagi tujuan tersebut.
Musibah banjir, kata Ahmad, adalah ujian Allah yang telah ditetapkan bagi menguji keimanan dan kesabaran hamba-Nya.
"Oleh itu, kita wajib menerima dengan penuh lapang dada dan tabah," ujar Ahmad lagi.
Sementara itu, Setiausaha kerajaan negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah
menyarankan semua masjid dan pusat pemindahan banjir di negeri itu mengadakan solat hajat agar
keadaan banjir segera pulih seperti sedia kala.
Beliau berkata Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengeluarkan saranan itu dengan beberapa masjid akan mengadakan solat hajat mulai malam ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan
jumlah mangsa bagi daerah Pasir Mas sehingga pagi ini ialah 10,565 orang , Kuala Krai (1,328), Pasir Puteh (556), Tanah Merah (141), Machang (19) dan Jeli (211).
Sebanyak 15 laluan di lapan jajahan di negeri ini ditutup akibat banjir yang semakin buruk pagi ini.
Menurut portal banjir kerajaan negeri, lapan laluan ditutup kepada
semua lalu lintas manakala tujuh lagi ditutup kepada kenderaan ringan.
Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Km37 Jalan Gua
Musang-Jelawang-Dabong di Gua Musang, dua laluan di Kuala Krai iaitu Jalan Sultan Yahya Petra (Bandar Kuala Krai) dan Jalan Jirat (Bandar Kuala Krai).
Di Tumpat, dua laluan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Km8 Jalan Cabang 4 Kampung Jambu-Meranti dan Km2 Jalan Keselamatan (Kesban) Pengkalan Kubor-Kampung Jambu.
Di Pasir Mas, dua laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Km12 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan Km11 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram, selain satu laluan di Machang iaitu di Km8 Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata.
Sementara itu, tiga laluan di Pasir Mas ditutup kepada kenderaan ringan melibatkan Km3 Jalan Pengkalan Rakit, Km23 Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 dan Km24-Km26 Jalan Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang.
Di Tanah Merah, satu laluan ditutup kepada kenderaan ringan iaitu
di Km1.5 Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh manakala di Machang laluan yang terlibat ialah di Km6 Jalan Kubor China-Temangan.
Di Jeli, laluan di Km37 Jalan Jeli-Dabong dan Km10 Jalan Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan turut ditutup kepada kenderaan ringan.
Menurut portal berkenaan, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 20,468 pagi ini berbanding 16,081 orang malam tadi.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menggunakan sebuah helikopter untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa
banjir di jajahan Gua Musang dan Jeli berikutan kesukaran menggunakan laluan darat.
Pengarahnya Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata alternatif dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak itu diambil berikutan jarak
antara Gua Musang dan Jeli dengan Kota Baharu agak jauh dan memerlukan masa yang
panjang untuk tiba di sesebuah lokasi jika menggunakan laluan darat.
"Kita khuatir sekiranya ada jalan yang ditutup dan terkandas yang akan menyukarkan lagi kerja-kerja penghantaran bekalan makanan ini," katanya ketika
dihubungi Bernama hari ini.
Menurut portal banjir kerajaan negeri, setakat tengah hari tadi, jumlah mangsa di lapan jajahan di Kelantan meningkat kepada 20,709 berbanding 20,468
orang pagi tadi.
Kesemua mangsa daripada 6,795 keluarga itu ditempatkan di 84 buah pusat pemindahan berbanding 70 pusat pagi tadi.
Nik Omar berkata hujan lebat yang berterusan sejak semalam dan kadang kala lebat hari ini di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai, menyebabkan paras air
sungai di jajahan itu meningkat dan membanjiri kawasan sekitarnya sehingga menyebabkan beberapa jalan raya tidak dapat dilalui.
"Bagaimanapun pegawai kita dan pihak yang terlibat sudah bersiap sedia untuk mengagihkan makanan dan membantu mangsa banjir di sana," katanya.
Nik Omar meminta semua mangsa yang berada di pusat pemindahan bersabar menunggu bekalan makanan memandangkan banyak kekangan terpaksa dihadapi ekoran
bencana itu.
"Harap mangsa banjir bersabar kerana bekalan kita terputus memandangkan jumlah mangsa yang semakin meningkat... bekalan yang disediakan adalah banyak
tetapi jumlah mangsa banjir terlalu ramai, jadi kita terputus bekalan termasuk di kedai-kedai yang dilantik untuk membekalkan bekalan berkenaan," katanya.
Beliau berkata helikopter yang membawa bekalan makanan itu kini dalam perjalanan ke Gua Musang serta Jeli dan dijangka tiba dalam masa terdekat.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 22,259 orang petang ini berbanding 20,709 tengah hari tadi
