Pada peringkat permulaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu dalam tahun-tahun 1970-an dan juga 1980-an, syarikat-syarikat yang diswastakan oleh kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh dikatakan tidak wujud.
Khazanah Nasional Berhad, institusi terpenting yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menguasai GLC hanya ditubuhkan dalam tahun 1993. Oleh yang demikian, sebelum tahun 1990, langsung tidak menjadi satu isu sama ada saham yang dimiliki Khazanah diambil kira dalam penghitungan hak milik saham atau tidak.
Akan tetapi, apabila dasar penswastaan dilaksanakan bersungguh-sungguh selepas pelan induk penswastaan diterbitkan pada tahun 1991, ekuiti syarikat-syarikat yang diswastakan dan juga ekuiti GLC yang dimiliki kerajaan menjadi satu isu besar sekiranya tidak diambil kira dalam pengiraan pemilikan ekuiti.
Musa Hitam, dalam suatu temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider dalam bulan Ogos 2014 berkata:
"Tetapi, kerajaan tidak mengambil kira GLC apabila mereka katakan pada masa ini pemilikan ekuiti bumiputera hanya 24 peratus. Kita tipu sendiri secara berterusan dengan membuat tuduhan terhadap kaum Cina."
Sebagai seorang bekas timbalan perdana menteri dan pengerusi sebuah GLC, tentulah Musa tahu apa yang beliau cakapkan itu.
Bagi tujuan menunjukkan pemilikan ekuiti bumiputera, kerajaan membahagikan data rasminya kepada tiga jenis seperti berikut:
1) Bumiputera perseorangan
2) Institusi bumiputera
3) Agensi amanah bumiputera
Institusi bumiputera dan agensi amanah bumiputera termasuklah Permodalan Nasional Berhad, Amanah Saham Mara, Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Koperasi Polis, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri. (Sila rujuk kepada jadual-jadual dalam dokumen Rancangan Malaysia yang menunjukkan “Hak Milik Modal Saham Syarikat-Syarikat Berhad”.)
Saham GLC mesti diambil kira
Perlu ditegaskan bahawa Khazanah Nasional, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Menteri Besar Diperbadankan dan Setiausaha Negeri Diperbadankan tidak termasuk dalam tiga jenis pemilik saham bumiputera itu. Kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri memiliki saham dalam syarikat-syarikat yang diswastakan melalui institusi-institusi tersebut. (Sila rujuk kepada Perenggan 7.13, Bab 7, Rancangan Malaysia Kelapan.)
Mengikut takrif kerajaan, saham-saham yang dimiliki oleh institusi-institusi tersebut, sama ada yang tersenarai atau tidak di Bursa, semuanya dikeluarkan daripada pengiraan pemilikan ekuiti.
Bukan semua GLC tersenarai di Bursa. Bagi GLC yang tersenarai di Bursa, biasanya kerajaan menguasai lebih daripada 30 peratus saham sahaja. Penguasaan tidak semestinya bermakna pemilikan ekuiti secara majoriti. Penguasaan sesebuah GLC bermaksud kebolehan kerajaan untuk melantik ahli-ahli kepada lembaga pengarahnya, ahli pengurusan kanan, serta membuat keputusan strategik.
GLC yang dikuasai Khazanah termasuklah syarikat-syarikat yang diswastakan oleh kerajaan seperti Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional. Selain daripada itu, Khazanah juga mempunyai banyak saham dalam GLC yang bukan diswastakan oleh kerajaan, contohnya, Kumpulan CIMB. Kerajaan-kerajaan negeri mengawal GLC juga, contohnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad di bawah kerajaan negeri Selangor.
Selain daripada GLC, terdapat syarikat-syarikat lain yang ada hubungan dengan kerajaan seperti Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap), sebuah anak syarikat yang ditubuhkan MKD pada 2001 dan dimiliki 100 peratus oleh MKD. Mavcap salah satu syarikat modal teroka terbesar di Malaysia. Mavcap melabur dalam sektor maklumat, komunikasi dan teknologi serta perusahaan lain yang berpotensi tinggi.
Pada penghujung tahun 2000, syarikat-syarikat yang diswastakan oleh kerajaan yang tersenarai di KLSE (selepas 2005 dikenali Bursa Malaysia) mempunyai permodalan pasaran ( market capitalisation ) berjumlah RM131.1 bilion atau 30 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran KLSE. (Sumber: Perenggan 7.20, Bab 7, Rancangan Malaysia Kelapan.)
Saham syarikat-syarikat yang diswastakan yang dimiliki kerajaan ialah sebanyak 49.5 peratus. (Sumber: Jadual 7-7, Bab 7, Rancangan Malaysia Kelapan).
Adalah jelas bahawa kuantiti saham yang dimiliki kerajaan adalah sangat besar. Malangnya kuantiti besar ini dikeluarkan daripada pengiraan pemilikan ekuiti mengikut kaum.
Menurut kenyataan akhbar Khazanah bertarikh 4 November lalu, jumlah permodalan pasaran 20 buah GLC utama meningkat tiga kali ganda dari RM140 bilion dalam bulan Mei 2004 kepada RM435 bilion pada bulan Oktober 2014. Perlu ditegaskan bahawa angka-angka tersebut merujuk kepada 20 buah GLC utama sahaja. Angka-angka itu tidak meliputi semua pegangan saham kerajaan. Misalnya, Khazanah sendiri mempunyai pelaburan dalam lebih daripada 50 buah syarikat besar di Malaysia dan juga luar negeri.
Kira-kira satu pertiga daripada jumlah saham 20 buah GLC utama itu dipegang oleh Khazanah dan rakan-rakannya. Akibat ketelusan Khazanah, berlandaskan kenyataan akhbar tersebut, kita boleh menganggarkan jumlah kuantiti saham yang dimiliki kerajaan pada Oktober 2014. Jumlah itu melebihi RM140 bilion (iaitu, 1/3 x RM435 bilion = RM145 bilion). Walaupun jumlah ini besar, tetapi jumlah ini tidak termasuk dalam pengiraan ekuiti yang dibuat oleh kerajaan.
Berasaskan data rasmi Khazanah, 20 buah GLC utama itu secara kolektif menyumbangkan hampir 25 peratus daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia dalam Oktober 2014 (RM435 bilion/RM1,770 bilion x 100% = 24.6 peratus).
Selaras dengan pendekatan konservatif kita, diandaikan GLC secara kolektif menyumbangkan hanya 20 peratus daripada jumlah permodalan pasaran KLSE pada 2000. Satu lagi andaian konservatif ialah jumlah saham GLC yang dimiliki kerajaan sebanyak 30 peratus sahaja, walaupun angka sebenar lebih tinggi daripada itu.
Kerajaan memegang saham di GLC dan syarikat-syarikat lain bagi pihak rakyat.
Oleh yang demikian saham-saham itu harus dibahagikan kepada semua rakyat Malaysia. Bagaimanapun, bagi bumiputera yang percaya sasaran 30 peratus belum tercapai, mungkin mereka merasa kehilangan hak jika kurang daripada 100 peratus saham yang dimiliki kerajaan itu dipindahkan kepada bumiputera.
Selaras dengan pendekatan konservatif, diandaikan hanya 65 peratus daripada saham yang dimiliki kerajaan akan dipindahkan kepada bumiputera. Andaian ini mencerminkan peratusan bumiputera dalam jumlah penduduk.
Dengan andaian-andaian tersebut, dianggarkan peratusan tambahan pemilikan ekuiti bumiputera bagi tahun 2000 sekiranya saham-saham yang dimiliki kerajaan, yang dahulunya tidak termasuk dalam pengiraan, diambil kira sekarang.
Seperti metodologi kerajaan, kami mengambil kira semua syarikat yang berdaftar dengan SSM. Ini termasuklah syarikat-syarikat tersenarai di KLSE dan juga syarikat-syarikat sendirian berhad.
Butir-butir penghitungan adalah seperti berikut:
Barisan terakhir dalam jadual atas memaparkan angka 2.7 peratus bagi tahun 2000. Ini bermakna mengikut anggaran konservatif kami, sekiranya saham-saham yang dimiliki oleh kerajaan yang dahulunya tidak termasuk dalam penghitungan ekuiti, kini diambil kira, pemilikan ekuiti bumiputera akan naik kira-kira 3 mata peratusan.
Sasaran 30% sudah tercapai
Tidak dapat dinafikan bahawa metodologi yang dipakai oleh kerajaan sekarang mempunyai kecacatan besar. Data rasmi menunjukkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam tahun 2000 sebanyak 18.9 peratus. Akan tetapi, angka ini berasaskan nilai par. Selain daripada itu, saham-saham yang dimiliki kerajaan tidak diperhitungkan. Ini bererti bahawa kesahihan 18.9 peratus boleh dipersoalkan.
Untuk memahami lebih baik soalan “Sudahkah sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera tercapai?”, dan untuk membetulkan kecacatan-kecacatan dalam metodologi pengiraan kerajaan, perkara di bawah harus diperhatikan:
1. Institusi bumiputera dan agensi amanah bumiputera ialah pelabur-pelabur institusi yang mempunyai ciri-ciri tertentunya, khasnya kecenderungan melabur dalam saham-saham mewah ( blue chips ).
Mengikut data rasmi, pemilikan ekuiti institusi bumiputera dan agensi amanah bumiputera dalam tahun 2000 ialah 4.7 peratus. Berbanding dengan pelabur bukan institusi, pelabur-pelabur institusi lebih mengutamakan blue chips . Harga pasaran blue chips biasanya jauh lebih tinggi daripada harga pasaran saham-saham lain . Ini bermakna apabila nilai par digantikan dengan harga pasaran, peratusan ekuiti institusi Bumiputera dan agensi amanah Bumiputera itu akan naik.
2. Orang asing dan syarikat-syarikat calon ( nominees ) secara amnya ialah pelabur institusi juga. Mengikut data rasmi, pegangan ekuiti orang asing dan syarikat-syarikat calon dalam tahun 2000 ialah sebanyak 31.3 peratus dan 8.5 peratus masing-masing. Begitu juga, apabila nilai par diganti dengan harga pasaran, peratusan ekuiti orang asing dan syarikat-syarikat calon pasti akan naik. Ini akan mempengaruhi peratusan pemilikan ekuiti mengikut kaum.
3. Jadual-jadual dalam dokumen Rancangan Malaysia mengenai hak milik modal saham menganggap syarikat-syarikat calon ( nominees ) sebagai satu kategori tersendiri. Tetapi, andaian tersirat dalam metodologi kerajaan, atau tafsiran bahawa tiada saham di bawah syarikat-syarikat calon dimiliki oleh bumiputera adalah langsung tidak munasabah.
4. Data kerajaan sendiri mengakui bahawa pemilikan ekuiti bumiputera dalam semua syarikat berhad (tersenarai dan tidak tersenarai di Bursa) meningkat 3 mata peratusan antara 2004 dan 2008 (dari 19 peratus naik kepada 22 peratus). Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, pemilikan ekuiti Bumiputera naik sebanyak 2 mata peratusan lagi kepada 24 peratus. Jumlah kenaikan sebanyak 5 mata peratusan ini adalah berasaskan nilai par.
Akibat bantuan kerajaan dalam tahun-tahun di alaf baru, portfolio pelaburan bumiputera telah menjadi lebih baik. Sekiranya penilaian modal saham dibuat berasaskan harga pasaran, secara logiknya, kenaikan yang berkenaan akan melebihi 5 mata peratusan yang disahkan kerajaan.
5. Saham-saham syarikat sendirian berhad yang dimiliki kerajaan melalui Khazanah, MKD, Menteri Besar Diperbadankan dan Setiausaha Negeri Diperbadankan seharusnya dimasukkan juga. Walaupun, jumlahnya tidak sebesar kuantiti saham dalam syarikat-syarikat tersenarai, jumlah ini tidak boleh dibiarkan sahaja.
6. Pertambahan dalam pemilikan ekuiti bumiputera yang diakibatkan daripada pemindahan saham GLC oleh kerajaan kepada bumiputera mengikut peratusan penduduk ialah satu perkara penting. Anggaran konservatif menunjukkan bagi tahun 2000 pertambahan ini kira-kira 3 mata peratusan. Khazanah Nasional menyatakan antara tahun 2004 dan 2014, jumlah permodalan pasaran 20 buah GLC utama telah meningkat tiga kali ganda. Ini bermaksud pertambahan dalam pemilikan ekuiti bumiputera dalam tempoh 2004-2014 pasti melebihi 3 mata peratusan.
Kerajaan mengakui bahawa berdasarkan nilai par, pemilikan ekuiti bumiputera kini ialah 24 peratus. Pembetulan 1 mata peratusan di sini dan 2 mata peratusan di sana akan menyebabkan kedudukan 24 peratus yang diakui kerajaan itu melebihi 30 peratusan.
Memandangkan faktor-faktor tersebut di atas, dengan satu metodologi baru yang menggunakan harga pasaran dan mengambil kira saham-saham yang dimiliki kerajaan, satu kesimpulan yang amat logik ialah sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera sudah tercapai kini.
Walaupun kesimpulan tersebut di atas amat logik dan kukuh, kami sedia membetulkannya jika kesimpulan itu dibuktikan silap. Begitu juga dengan metodologi kerajaan dan kesimpulannya bahawa sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera masih belum tercapai. Metodologi penghitungan kerajaan yang berkenaan bukanlah sesuatu perkara bersifat suci keagamaan. Oleh yang demikian, tentulah kesimpulan kerajaan itu boleh dipertikaikan sekiranya terdapat kelemahan-kelemahan ketara dalam metodologinya.
Syor: Pasukan petugas bebas ditubuhkan
Untuk mendapat jawapan sebenarnya kepada soalan besar “Sudahkah sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera tercapai?” kami syorkan:
1. Satu pasukan petugas khas yang diketuai Suruhanjaya Sekuriti ditubuhkan untuk menjalankan penilaian secara profesional untuk syarikat-syarikat tersenarai di Bursa bagi tahun 2013/2014.
2. Ahli-ahli pasukan petugas harus terdiri daripada wakil-wakil organisasi yang berkaitan dan berkelayakan seperti Bursa Malaysia, Malaysian Institute of Certified Public Accountants serta Malaysian Institute of Accountants.
3. Penilaian mesti berasaskan harga pasaran (jika perlu, harga pasaran pukul rata bagi 12 atau 9 bulan digunakan) dan saham-saham yang dimiliki kerajaan dimasukkan.
4. Bagi syarikat-syarikat sendirian berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) harus dipertanggungjawabkan untuk melakukan penghitungan baru.
5. Rancangan Malaysia Kesebelas (11MP) akan diterbitkan pertengahan 2015, untuk memastikan keputusan-keputusan pasukan petugas dapat dipakai dalam penyedian 11MP, pasukan petugas serta SSM hendaklah menyelesaikan kerjanya secepat mungkin.
6. Keputusan-keputusan pasukan petugas dan SSM hendaklah diumumkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan SSM secara langsung tanpa gangguan mana-mana pihak.
Mengalihkan 'tiang gol'
Untuk mempertingkatkan kedudukan pemilikan ekuiti bumiputera kepada sasaran 30 peratus, 65 peratus daripada saham-saham GLC yang dimiliki kerajaan harus dipindah kepada bumiputera. Akan tetapi, ini tidak bermakna sasaran pemilikan ekuiti bumiputera dinaikkan kepada 65 peratus.
Pada masa akan datang, pemilikan ekuiti bumiputera mungkin mencapai 65 peratus atau lebih, akan tetapi, pencapaian ini mesti dilakukan melalui persaingan yang saksama dan adil dan bukan melalui sistem kuota atau layanan istimewa.
Adalah sama sekali tidak bijak sekiranya kerajaan menaikkan sasaran pemilikan ekuiti bumiputera kepada 70 peratus semata-mata kerana penduduk Malaysia dalam tahun 2020 akan 70 peratus terdiri daripada kaum bumiputera. Soalan besar ialah apakah implikasi-implikasi dasar baru kuota 70 peratus ke atas ekonomi Malaysia?
Adalah tidak bertanggungjawab sekiranya “tiang gol” yang ditetapkan oleh pengasas-pengasas negara dulu dialihkan dengan memperkenalkan istilah-istilah baru seperti “penguasaan ekuiti secara berkesan” atau “pemilikan ekuiti efektif”.
Kita mesti sentiasa ingat kebijaksanaan pengasas-pengasas negara bahawa Malaysia ialah sebuah ekonomi terbuka.
Kita tidak boleh mengamalkan xenofobia (perasaan benci terhadap orang-orang asing) atau cauvinisme.
Tulisan ini terjemahan dari versi bahasa Inggeris yang ditulis oleh LITTLE STARS - nama pena bagi sekumpulan profesional.
Bahagian 1: Sudahkah Sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera tercapai?
