BERITA

Sesi persekolahan dibuka lewat seminggu

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Dis 2014, 11:15 tengahari

Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara, selama seminggu, berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pendidikan berkata dengan penangguhan itu, tarikh baru sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Jan (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Jan (Isnin).
"Penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau yang ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.
"Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata sehingga semalam, Kementerian Pendidikan mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir.
Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Januari manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Januari.
"Sebagai menteri pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akankesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan," katanya.
Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan sekolah agar apabila keadaan banjir kembali pulih, mereka harus menggunakan tempoh itu untuk bergotong royongmembersihkan kawasan sekolah, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kepada murid-murid.
Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri yang terjejas adalah 225,722 orang.
7.52am: Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pagi ini, lebuh raya LPT di Lanchang-Maran (Km126) masih ditutup kerana banjir di sekitar Temerloh.
Di Kota Bharu, IM4U, sebuah badan bukan kerajaan, akan mengedarkan 10,000 khemah untuk digunakan oleh mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di negeri-negeri yang dilanda banjir, lapor Bernama.
Ketua Pegawai Operasinya Azlan Rudy Malik berkata khemah berbentuk bilik itu diedarkan untuk memberi keselesaan kepada mangsa banjir.
"Kita juga akan mengedarkan 40,000 beg tidur kepada mangsa banjir untuk memberi keselesaan kepada mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah
Kebangsaan (SK) Penambang di Kota Bharu semalam.
Azlan Rudy berkata setakat ini, 1,000 khemah dan 2,000 beg tidur telah diedarkan di lima pusat pemindahan di Kelantan.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang berusaha memastikan sistem komunikasi termasuk perkhidmatan telefonbimbit yang terbatas akibat banjir buruk melanda negeri ini, dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini tidak kesemua perkhidmatan telefon bimbit yang terjejas kerana terdapat perkhidmatan oleh syarikat pembekal tertentu masih beroperasi.
"Maknanya ada pembekal perkhidmatan tertentu yang masih beroperasi tetapi ada yang tidak beroperasi, bergantung kepada syarikat tertentu," katanya malam tadi.
- Bernama

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.