Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebahagian peniaga di bandar Kota Bharu, mula membersihkan kedai mereka hari ini selepas air surut sejak petang semalam.
 
Bagaikan pesta, barang-barang yang terkena air banjir, dilelong di hadapan kedai masing-masing dengan separuh harga asal.
 
Seorang peniaga pakaian muslimah, Nordin Ibrahim (kiri) berkata, beliau terpaksa melelong barangannya di bawah harga modal untuk menghabiskan stok yang terkena air banjir.
 
"Terpaksa jual murah-murah, nak jual pada harga biasa pun tak boleh dah.
 
"Ini pun jual untuk habis barang sahaja, tak ada untung langsung," katanya.
 
Tudung bawal biasa bidang 60, yang kebiasaannya dijual pada harga RM25 sehelai, dilelong RM20 untuk 12 helai.
 
Sementara tudung bercorak pula, dilelong pada harga RM20 untuk 20 helai.
 
Keadaan itu, menyebabkan beliau yang dibantu anggota keluarga, tidak menang tangan melayan pembeli yang datang.
 
"Sebelum ini sudah banyak juga kita hantar ke Kuala Kerai untuk bantu mangsa banjir di sana, tidak ada pakaian.
 
"Kita hanya bagi percuma kepada mereka," katanya yang mendakwa kerugian hampir RM100,000.
 
Selain pakaian, ada juga kedai yang membuat lelongan barangan rumah, kasut dan makanan.
 
Sementara itu, orang ramai yang ditemui ternyata tidak mahu melepaskan peluang tersebut.
 
Azhar Abu Bakar, 40, ketika ditemui Malaysiakini berkata, beliau mengambil peluang itu untuk membeli makanan yang sebelum ini habis.
 
"Saya beli biskut. Biasa lebih RM3 satu paket, tetapi hari ini dia lelong RM1 untuk satu paket.
 
"Orang jual murah, kita beli terus sebab hari biasa tak dapat harga ni," katanya yang memborong hampir 10 paket biskut.
 
Bagi Ermawati Mohd Nawi, 20, pula, tindakan peniaga-peniaga yang membuat lelongan barangan itu wajar dipuji.
 
Menurutnya, ia sekaligus meringankan beban orang ramai yang baru sahaja menempuhi banjir besar tahun ini.
 
"Saya beli banyak, sebab macam-macam biskut ada dan murah sangat," katanya.
 
Bagi Abdul Ghani Abdul Rahman, 54, pula, beliau datang dari Wakaf Bharu, yang berjarak kira-kira 15KM dari Kota Bharu, untuk membeli barangan yang dilelong.
 
"Biasa kalau beli sebanyak ini, mungkin dah habis RM15, tapi hari ini baru habis RM5. Memang murah," katanya.
 
Sementara itu, tinjauan Malaysiakini di sekitar bandar Kota Bharu menyaksikan petugas Jabatan Kerja Raya (JKR), sedang giat menolak lumpur membersihkan jalan.
 
Kebanyakan laluan ke pusat bandar hari ini sudah boleh dilalui.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS