BERITA

PM sifatkan banjir Kelantan malapetaka besar

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Dis 2014, 9:56 pagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bencana banjir buruk yang melanda Kelantan adalah malapetaka besar yang membawa banyak kemusnahan.

Beliau yang meninjau kesan akibat banjir besar itu di Gua Musang dan Kuala Krai, Selasa, berkata kedua-dua jajahan berkenaan merupakan kawasan yang paling teruk terjejas pada banjir kali ini.

"Mereka (penduduk) menganggap bencana itu bukan sebagai satu fenomena banjir tetapi ia adalah bencana atau malapetaka besar kerana keadaan air naik begitu tinggi dan mendadak sehingga banyak rumah tenggelam," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Baharu, selepas meninjau keadaan di kedua-dua jajahan.

Hadir sama mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir negeri Kelantan.

Najib berkata selain melihat sendiri rumah yang musnah sama sekali dan yang rosak teruk, beliau dimaklumkan penduduk bahawa beratus rumah musnah dan mereka hilang tempat kediaman.

"Saya lihat begitu banyak kerosakan dan ia amat menyedihkan dan menyayat hati," katanya, dengan menambah kerajaan akan mengambil beberapa tindakan untuk membantu mangsa banjir di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai.

Perdana Menteri berkata sekarang ini kerajaan dalam usaha yang berterusan membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan dan juga membantu mereka pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir pulih.

Beliau berkata kerajaan akan membuat taksiran secepat mungkin setiap rumah yang musnah dan rosak akibat banjir.

"Tindakan yang perlu diambil ialah membina rumah sementara supaya dapat didiami oleh mangsa-mangsa banjir yang ketiadaan rumah," katanya.

Najib berkata kerajaan akan membina kediaman kekal untuk mangsa banjir di Kuala Krai di kawasan yang lebih selamat daripada ancaman banjir.

- Bernama

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.