Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa meninggal dunia tiga hari lalu
Diterbitkan:  Dec 31, 2014 9:00 AM
Dikemaskini: 2:54 PM

Pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal, hilang Ahad lalu.
 
Pesawat Airbus 320-200 itu berlepas dari Surabaya, Indonesia pada jam 5.20 pagi waktu tempatan (6.20 pagi waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Singapura dua jam kemudian, tetapi ia terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.
 
Pihak berkuasa Indonesia melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).
 
Malaysiakini menyiarkan secara langsung perkembangan yang berlaku hari ini.

LANGSUNG HARI KEEMPAT

Tujuh mayat ditemui setakat ini

10.36pm: Basarnas sahkan berjaya mengambil tujuh mayat dari kawasan nahas.

Kesemuanya dibawa ke pengkalan tentera di Pangkalan Bun

Dua daripadanya selepas itu dibawa ke Hospital Bayangkara di Surabaya untuk pengecaman.

7.55pm: Pemeriksaan awal forensik di Hospital Bhayangkara mendapati mayat seorang lelaki dan perempuan yang ditemui sudah meninggal dunia sejak tiga hari lalu.

Laporan Bernama memetik kenyataan Ketua DVI Jawa Timur Komisioner Besar Budiyono berhubung siasatan ke atas mayat berkenaan yang ditemui dalam keadaan sempurna, cukup sifat dan masih utuh.

Katanya, kedua-dua mayat itu kini berada di Hospital Bhayangkara, kira-kira 40 kilometer dari Surabaya  untuk menjalani proses bedah siasat dan identifikasi.

AirAsia harap ada keajaiban

7.30pm: Ketua pegawai eksekutif AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko berharap pencarian akan menemui mangsa yang masih selamat, lapor detik.com.

“Empat hari lalu merupakan hari yang paling sedih bagi kami. Bagaimanapun, saya berharap ada yang terselamat yang akan ditemui.

“Kami berharap pada keajaiban tuhan dan kita perlu percaya pada (keajaiban),” katanya.

7.30pm : Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko masih berharap ada mangsa terselamat dari pesawat yang terhempas, lapor detik.com

"Empat hari yang lepas adalah empat hari yang paling menyayat hati buat kami. Namun, saya harap masih ada mereka yang terselamat yang akan ditemui penyelamat," kata Sunu.

"Kita harapkan keajaiban dari Tuhan dan kita perlu percaya kepada itu," katanya.

6.15pm: Laksamana Datuk Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kapal KD Pahang mengesan tiga mayat mangsa pada jam 4.30 petang ini.

Kapal berkenaan kini dalam proses mengambil mayat berkenaan, katanya di Twitter.

5.25pm: Pasukan pengesan kotak hitam dari Singapura dan Perancis menyertai pasukan KNKT di Tanjung Pandang, Belitung.

5.10pm: Basarnas menegaskan tiada mayat yang memakai jaket keselamatan ditemui.

Timbalan ketua operasinya, Tatang Zaenuddin berkata, mereka hanya menemui satu mayat lelaki dengan satu jaket keselamatan, lapor detik.com

4.45pm: Operasi mencari dan menyelamat berjaya mengutip 28 objek dari kawasan pencarian, antaranya bubur segera dalam paket dan payung.

“Ada beberapa beg bagasi, snek ringan, bungkusan bubur segera dan tiga payung,” kata Kol Yayan, yang menganggotai pasukan SAR, lapor detik.com.

Barangan lain termasuk bagasi dengan satu beg merah di dalamnya, beg Adidas, beg sandang, tag nama dengan nama Hayati Lutfiah dan kunci.

Mereka turut menemui kit ikhtiar hidup dengan label AirAsia.

“Ini menyebabkan kami yakini bahawa ini sememangnya QZ8501,” kata Yayan.

Isyarat sonar kesan objek besar, gelap dalam laut

4.07pm : Penemuan satu mayat mangsa yang memakai jaket keselamatan menimbulkan persoalan tentang detik-detik terakhir pesawat QZ8501.

Laporan Reuters menyebut ia menandakan penumpang mempunyai masa sebelum pesawat terhempas menghentam permukaan laut - atau selepas ia terhempas dan sebelum tenggelam.

Namun, juruterbang tidak pula dikesan menghantar sebarang isyarat kecemasan.

1.12pm : Isyarat sonar mengenalpasti satu objek besar dan gelap dalam laut yang mungkin merupakan pesawat AirAsia yang hilang, lapor Reuters .

"Ia kira-kira 30 ke 50 meter di dalam air," kata Hernanto, seorang pegawai dengan agensi menyelamat dan mencari Indonesia.

Ahli-ahli penyelamat kini bersiap sedia untuk mendapatkan sebarang mayat dari pesawat dan melakukan proses pengenalpastian.

"Kami berdoa yang ia adalah pesawat itu agar proses mengeluarkan mayat boleh dilakukan secepat mungkin," kata Hernanto.

Fernandes: Ini meruntun jiwa saya

4.00pm : Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes, yang berada di Pangkalan Bun berkata, satu "tanggungjawab yang profesional" sedang dilaksanakan semua pihak.

"Hakikatnya, melihat mangsa-mangsa serta serpihan pesawat tersebut amat meruntun jiwa saya. Namun kita kekal tabah demi keluarga, Allstars (kakitangan AirAsia) dan penumpang-penumpang," tulisnya di Twitter.

Beliau turut merakam penghargaan kepada agensi mencari dan menyelamat Indonesia, pihak tentera, tentera laut dan po;is atas "usaha luar biasa" mereka.

12.04pm : Presiden Indonesia Joko Widodo akan mengadakan mesyuarat kabinet di pejabat beliau hari ini.

Mesyuarat itu antara lainnya dijangka akan membincangkan nahas pesawat AirAsia.

Sampel DNA ahli keluarga untuk kenal pasti mangsa

10.40am: Sampel DNA untuk tujuan mengenalpasti identiti diperolehi daripada 30 keluarga yang mempunyai sanak saudara dalam penerbangan QZ8501, lapor detik.com

Pihak berkuasa menggesa lebih ramai anggota keluarga tampil ke hadapan agar lebih banyak sampel dapat diambil.

10.20am: Operasi SAR Indonesia telah meminta kapal perang USS Sampson supaya bersiap sedia.

Pihak berkuasa juga berkata, walaupun mereka mengalu-alukan bantuan negara jiran, tetapi mereka akan hanya menggunakannya apabila diperlukan, lapor detik.com.

10.15am: Selain mayat, pasukan SAR telah juga menemui dua pintu pesawat, satu tingkap kecemasan, satu beg galas dengan makanan di dalamnya serta kasut kanak-kanak dan sebuah kamera poket, lapor detik.com yang memetik para pegawai.

Cuaca buruk jadi cabaran

10.05am: Dua puluh lagi penyelam kini bersiap sedia, menjadikan jumlah penyelam yang terlibat dalam operasi SAR seramai 47 orang.

Pegawai operasi SAR berkata, akibat laut bergelora dan cuaca buruk, detik.com melaporkan mereka masih tidak dapat meneruskan usaha mengambul mayat di laut.

10.00am: Britain, Singapura dan Perancis menghantar pakar mereka membantu mengesan kotak hitam pesawat. Airbus juga menghantar pakar untuk membantu mengesan rangka pesawat itu, lapor detik.com.

Enam mayat dikeluarkan

9.10am: Pesawat Hercules yang terlibat dalam operasi SAR terpaksa berpatah balik ke Pangkalan Bun disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk.

Operasi SAR hari ini bermula jam 5.40 pagi, lapor detik.com.

9am: Sehingga ini, enam mayat sudah dikeluarkan - tiga lelaki dan tiga perempuan.

Satu daripadanya telah dikenal pasti sebagai seorang pramugari, lapor detik.com.

8.30am: Daripada tiga mayat mangsa nahas pesawat malang QZ8501 yang ditemui di perairan Belitung semalam, seorang daripadanya adalah seseorang kanak-kanak itu.

detik.com melaporkan para pegawai berkata mayat yang dilihat dari pesawat tentera Hercules ialah dua lelaki dan seorang perempuan.

Laporan itu memetik pegawai yang terlibat dalam operasi SAR sehingga 7 petang semalam.

Gerakan mencari diteruskan awal hari ini.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS