Tahun 2015 adalah tahun amat mencabar bagi idea dan pendekatan kesederhanaan.
Tahun depan adalah tahun Malaysia amat sibuk di pentas antarabangsa.
Kita akan menjadi Pengerusi ASEAN selama setahun dan ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selama dua tahun, hingga 2016.
Ini bukanlah kali pertama kita menduduki kedua-dua kerusi tersebut. Tetapi, menduduki kedua-duanya sekali gus adalah istimewa.
Di kedua-dua pentas tersebut, janji Malaysia ialah mempromosi kesederhanaan. Ini janji paling unik sepanjang penyertaan kita di pentas antarabangsa.
Ia dimulakan melalui ucapan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Perhimpunan Agung PBB pada 2010, yang menghasilkan, antaranya, tertubuhnya Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
Ia mendapat sambutan amat menggalakkan daripada ramai pemimpin dunia.
Cabarannya sejauh manakah Malaysia berjaya melipatgandakan pendekatan kesederhanaan dalam tempoh dua tahun itu?
Dalam ASEAN, Malaysia mempunyai rekod cemerlang memfasilitasi perjanjian keamanan di Filipina Selatan.
Perangi keganasan IS
Mampukah kita meneroka kejayaan sama di Thailand Selatan, membela Rohingya di Myanmar dan menyeimbangi kuasa Amerika Syarikat (AS) dan China di perairan Laut China Selatan?
Bagaimanakah kita mengatasi cara ASEAN yang mengamalkan konsensus yang sering menggagalkan inisiatif-inisiatif tertentu?
Di PBB, Malaysia cemerlang sebagai penyumbang kepada pasukan pengaman.
Mampukah kita menggerakkan penyelesaian muktamad isu Palestin, sekian banyak konflik yang sedang berlaku di seluruh dunia, dan khususnya, kes MH370 dan MH17?
Bagaimanakah kita menangani sistem veto Majlis Keselamatan?
Bagi GMM, sebagai badan pemikir, kami akan menggunakan kedua-dua kedudukan tersebut untuk melipatgandakan lima inisiatif utama, iaitu, diplomasi digital, ancaman keselamatan tak-tradisional, demokrasi dan governans, pembangunan inklusif dan peranan masyarakat sivil (khususnya belia dan wanita).
Program utamanya ialah Persidangan Antarabangsa GMM II pada Mac 2015.
Perkara paling kritikal ialah memerangi keganasan, khususnya “Islamic State” (IS). Di PBB, ASEAN dan tempatan, ia memerlukan kerangka kerja yang holistik, yang melibatkan semua pemegang taruh dan strategi, aktiviti dan taktik yang multidimensional.
Suara-suara kesederhanaan
GMM telah menubuhkan pasukan khas dan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.
Isu tempatan yang paling kritikal ialah sejauh manakah kita dapat meneruskan pendekatan kesederhanaan, yang menjadi nadi dan kekuatan rakyat Malaysia yang majmuk selama ini, di tengah-tengah suara ekstrim, yang sebenarnya adalah golongan minoriti.
Masalah ini tercetus mutakhir ini. Tahun 2015 menuntut bukan sahaja keazaman politik, tetapi keberanian politik, untuk menanganinya.
Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), yang ditubuhkan Datuk Seri Najib, akan menyiapkan laporannya awal tahun depan.
Perhatian akan tertumpu, khususnya, terhadap cadangan Akta Harmoni Nasional, iaitu yang merujuk soal diskriminasi dan mediasi – dua elemen penting di mana kesederhanaan dapat dilipatgandakan.
Laporan tersebut juga diharap membuat cadangan-cadangan berani yang berkait rapat dengan kesederhanaan, contohnya, penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-undang, keterlibatan semua pihak dalam penggubalan undang-undang, literasi Perlembagaan, dasar pembangunan inklusif, silang budaya, integrasi nasional dan peranan belia.
Kita mengalu-alukan suara-suara kesederhanaan – yang mewakili majoriti rakyat – yang mula muncul dengan lebih konkrit.
Contohnya, ialah kumpulan 25 bekas pegawai kanan kerajaan, kumpulan sarjana Islam, 33 warga senior pelbagai kaum, 93 NGO, dan sebagainya.
Tempoh setahun dua adalah singkat. Tidak mungkin semua perkara dapat disempurnakan. Tetapi, pokoknya, kita mesti melipatgandakan kerja. Dengan bijaksana dan berani.
