BERITA

Kelantan: Banjir bukan akibat pembalakan

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Jan 2015, 8:54 pagi

Kerajaan Kelantan menafikan banjir besar yang berlaku di negeri ini adalah berpunca daripada kegiatan pembalakan yang tidak terkawal di Hulu Kelantan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata sebaliknya ia disebabkan hujan lebat yang berterusan di Gua Musang pada 21 hingga 23 Dis lalu.

"Saya dengan tegas menyangkal tuduhan ini kerana kerja-kerja pembalakan telah dibekukan di Tanah Tinggi Lojing sejak tahun 2006 lagi.

"Apa yang berlaku hujan lebat selama tiga hari itu telah mencatatkan taburan hujan yang tertinggi iaitu 1,295mm yang bersamaan bagi taburan hujan selama 64 hari," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Ahmad berkata tuduhan itu disifatkan sebagai ujian yang begitu berat kepada kerajaan dan rakyat negeri ini.

"Ini adalah kekuasaan Allah Taala yang telah menurunkan hujan pada kadar yang amat banyak dalam jangka waktu yang amat singkat.

"Saya dengan ini menyeru seluruh rakyat negeri ini agar menginsafi isyarat daripada Allah ini," katanya.

Beliau berkata dalam fasa banjir ini semua pihak perlu membantu untuk memulihkan semula kawasan-kawasan yang musnah dan menolong mangsa banjir yang kehilangan rumah dan keperluan asas mereka.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.