Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Kerosakan aset PDRM di K'tan RM15.3j
Diterbitkan:  Jan 8, 2015 12:37 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengganggarkan kerosakan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan berjumlah RM15.3 juta akibat banjir.

    

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerosakan berkenaan melibatkan bangunan, kenderaan, peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan 19 balai polis di lima jajahan iaitu Kota Baharu, Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai dan Gua Musang.

    

"Kawasan yang paling terjejas teruk ialah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di mana elemen-elemen yang saya sebut tadi terlibat tetapi kita merasa syukur kerana Pasir Puteh, Machang, Bachok serta Jeli tidak ada kerosakan," katanya.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat juruterbang ASP Amirul Adli Ahmad dan pembantu juruterbang ASP Hasli Hassan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Bharu, lewat malam tadi.

    

Kedua-dua mereka dan dua orang lagi yang menaiki helikopter PDRM terselamat apabila ia terhempas di Kampung Rambai Gobek, Tanah Merah, Rabu lepas ketika misi menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir .

    

Dua lagi mangsa dikenali sebagai Sarjan Mejar Mohd Hood Abd Majid dan Lans Koperal Arhafidah Zakaria.

    

Ahmad Zahid sebelum itu meluangkan masa meninjau kerosakan yang berlaku di bangunan IPK Kelantan dan Markas Operasi Bencana Banjir Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kelantan di Kota Bharu.

    

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS