Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP mahu siasat, MP kata salah
Diterbitkan:  Jan 10, 2015 5:31 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukannya akan menyiasat seorang MP DAP, Dr Ko Chung Sen dan juga seorang peguam, Eric Paulsen mengikut Akta Hasutan ekoran kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh individu tersebut.

Kenyataan Ko itu didakwa berhubung pengajaran mata pelajaran tamadun Islam di universiti dan kenyataan Paulsen pula berhubung dakwaan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mempromosi ekstremisme.

Khalid dalam tulisan di Twitter berkata kenyataan tersebut sememangnya wajar disiasat mengikut Akta Hasutan.

“PDRM akan siasat di bawah Akta Hasutan,” katanya lagi, yang turut memuatkan gambar Ko dan Paulsen serta kenyataan yang didakwa dinyatakan oleh individu berkenaan.

MP Kampar tersebut dalam reaksi segeranya menafikan bahawa beliau membuat kenyataan seperti didakwa

Kenyataan yang ditunjukkan dalam gambar tersebut “jelas sekali disunting ke dalam gambar tersebut”, katanya seperti dikutip laman The Star Online hari ini.

Katanya lagi, beliau kecewa kerana Khalid mengumumkan siasatan “berdasarkan satu laman cybertrooper.”

Gambar berkenaan disunting dan ditambah dengan logo DAP dan tulisan “Hapus subject Tamadun Islam. Ini hak kami! Kami bayar cukai”.

Suntingan itu dikesan dilakukan ke atas satu gambar asal milik Malaysiakini (kiri) bertarikh Julai 2013.

Gambar itu menunjukkan Ko sedang bercakap mengenai pengajaran mata pelajaran tersebut dalam satu sidang media .

Dalam sidang media itu, Ko satu ketetapan kementerian pengajian tinggi pada masa itu yang menurutnya bakal menjadikan mata pelajaran Tamadun Islam sebagai subjek wajib bagi pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta.

Sedangkan, katanya, ia hanya ditetapkan kepada pelajar tempatan dan dikecualikan bagi pelajar antarabangsa.

Sementara itu, siasatan ke atas kenyataan Paulsen pula merujuk kepada nukilan peguam itu di Twitter semalam.

“Jakim mempromosi ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mengenai ekstremisme di Malaysia,” tulisnya dalam bahasa Inggeris.

Tulisan berkenaan antara lainnya mendapat perhatian Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bimbang sekiranya ia bermaksud untuk menghina umat Islam.

"Ini adalah penghinaan kepada umat islam sekiranya maksud anda adalah khutbah Jumaat," kata timbalan ketuanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Kenyataan Nurul Islam itu turut disebarkan Pemuda PAS di Twitter.

Jakim is promoting extremism every Friday. Govt needs to address that if serious about extremism in Msia.

— Eric Paulsen (@EricPaulsen101) January 9, 2015


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS