BERITA

Australia tak benar Sirul dibawa pulang

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Jan 2015, 10:28 pagi

Australia tidak akan memenuhi permohonan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang bekas anggota elit polis, Sirul Azhar Umar.

Laporan Sydney Morning Herald menyebut, permohonan tersebut tidak akan dipenuhi kerana ia melibatkan hukuman mati.

Laporan itu memetik kenyataan Jabatan Peguam Negara Australia yang menyebut, ia hanya akan dipenuhi sekiranya Malaysia berjanji untuk tidak menjalankan hukuman mati tersebut.

“Undang-undang ekstradisi Australia tidak membenarkan seorang individu diserahkan kepada sebuah negara untuk satu kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati, melainkan negara itu memberi kepada Australia satu janji bahawa hukuman mati tidak akan dijalankan,” laporan itu dipetik.

Australia merupakan salah sebuah negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Sirul Azhar (kiri) , yang merupakan tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, tidak hadir ke mahkamah pada hari Selasa lalu dan susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya

Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lepas.    

Mahkamah Persekutuan juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua mereka.

Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

Pada 9 April 2009 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu.

Gambar Sirul, 43, dan Azilah, 38 (kanan) juga diperolehi hari ini dengan ehsan polis Bukit Aman.

Sirul dan Azilah sebelum ini berjaya mengelak wajah mereka dirakam oleh lensa kamera sepanjang tempoh perbicaraan dan rayuan, sejak hampir sedekad lalu.

Kedua-duanya menutup wajah masing-masing dengan rapi ketika dibawa masuk dan keluar daripada bilik mahkamah.

[Berita penuh menyusul]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.