BERITA Malaysiakini

DAP mahu Najib campur tangan isu surat Zahid

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masuk campur bagi merungkaikan kekeliruan berkenaan surat menteri dalam negeri kepada pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata beliau sangsi dengan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kabinet menerima penjelasannya berhubung surat mengenai individu didakwa raja judi haram, Paul Phua.

"Reputasi antarabangsa Malaysia cukup tercemar ekoran surat Zahid kepada FBI, dan Datuk Seri Najib Razak mesti campur tangan untuk menyelesaikan masalah ini.

"Jika tidak beliau seakan-akan maharaja Nero - tenang bermain biola tatkala Rom dijilat api," kata Lim dalam kenyataannya.

Zahid semalam mengumumkan bahawa kabinet menerima penjelasannya bahawa surat itu ditulis untuk menjelaskan kedudukan Paul Phua semata-mata.

"Adakah mana-mana menteri yang betul-betul percaya bahawa surat Zahid kepada FBI itu tidak lebih dari sekadar menjelaskan bahawa Phua bukanlah anggota 14K di Malaysia dan bersedia mengaku seorang demi seorang?

"Saya sangsi jika ada seorang menteri kabinet yang bersedia untuk mengaku secara terbuka bahawa beliau benar-benar percaya dengan penjelasan Zahid," kata Lim lagi.

Lim turut membidas Zahid yang menggunakan alasan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk terus bergumam tentang perkara itu.

Beliau turut menggesa agar bekas menteri dalam negeri lain turut menjawab sekiranya mereka juga pernah menulis surat seperti itu.

Ia bagi menjawab dakwaan Zahid bahawa menteri dalam negeri lain sebelum beliau juga pernah berbuat demikian.

Katanya, ia merupakan alasan kukuh untuk bekas menteri tersebut bersuara tentang perkara itu.

"Jika demikianlah keadaannya, maka menteri terdahulu jauh lebih tidak berdisiplin, liar dan melulu daripada apa yang disangkakan rakyat Malaysia.

"Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid mesti bersuara dan membersihkan nama mereka," katanya.