Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ada sokong tangguh, ada mahu mansuh PLKN
Diterbitkan:  Jan 20, 2015 2:55 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Keputusan kerajaan menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun ini demi menjimatkan perbelanjaan negara, mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan dan MP Pakatan Rakyat.

Perkara itu kini rancak dibahaskan, termasuk dalam laman blog mikro Twitter masing-masing, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perkara itu pagi tadi.

Pemimpin kerajaan seperti Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyambut baik penangguhan itu demi mengkaji semula dan menambah baik pelaksanaannya pada masa depan.

Hishammuddin, yang mengetuai kementerian bertanggungjawab menyelia PLKN, menjelaskan penangguhan itu membolehkan usaha transformasi terhadap program itu dijalankan.

Dalam Twitternya, naib presiden Umno itu berkata sebuah makmal akan dibentuk bulan depan melibatkan semua pihak berkepentingan, antaranya operator kem, ibu bapa, jurulatih, NGO dan institusi kewangan, untuk membincangkan usaha menambah baik PLKN.

"Penangguhan PLKN 2015, seperti yang diumumkan PM @NajibRazak, memberi ruang kepada kita untuk kaji semula dan tambah baik melalui transformasi PLKN.

"Saya beri jaminan kepada stakeholders PLKN bahawa penangguhan tahun ini tidak akan menjejaskan operator-operator kem, jurulatih dan mereka yang mempunyai jawatan tetap," katanya di Twitter.

Hishamuddin yang juga MP Sembrong sangat bersetuju supaya program itu lebih banyak menumpukan daripada aspek "kenegaraan dan penguasaan bahasa Malaysia."

Usaha Hishammuddin disokong rakan sejawatannya, Khairy yang menjelaskan kerjasama antara kementeriannya dan kementerian pertahanan untuk mengkaji semula program itu untuk memastikan "PLKN 2.0 jauh beza dari yang asal."

PLKN 2.0

"PLKN 2.0 memberi penekanan kepada kemahiran untuk belia yang tidak mengikut laluan ke universiti. Mereka akan diberi latihan khusus," kata Khairy yang juga ketua Pemuda Umno dalam Twitternya

Di sebaliknya pengumuman kerajaan itu, terdapat juga cadangan supaya program tersebut dimansuhkan terus kerana didakwa "tidak ikut rancangan awal dan tidak berbaloi".

Beberapa pihak termasuk bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Saifuddin Abdullah mahu program itu dimansuhkan tetapi Hishammuddin mahu perbincangan dibuat terlebih dahulu.

“@HishammuddinH2O saya cadang mansuh PLKN. Tak ikut perancangan asal dan tak berbaloi,” tulis Saifuddin.

Manakala Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula dilapor menggesa kerajaan mencari kaedah baru untuk menggantikan PLKN dengan program lebih berkesan dan menjimatkan.

"Banyak lagi program yang boleh dilaksanakan bagi menggantikan PLKN, tempoh penangguhan ini merupakan ruang yang amat sesuai untuk kerajaan mengenal pasti program atau kaedah baru," katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Menyambut baik langkah kerajaan itu, Salahuddin berkata gesaan menangguhkan program itu telah lama dibangkitkan PAS, kerana didakwanya "tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kerajaan" dan "merupakan beban kepada kerajaan kerana kos yang tinggi".

Sementara itu Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dalam Twitternya berkata:

"PM, tak perlu tangguhkan #PLKN. Mansuhkan terus. Banyak lagi ruang yang lebih berfaedah untuk wang tersebut".

Lihat Komen
ADS