Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk berdebat mengenai enakmen bagi melaksana pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu.

Cabarannya itu timbul susulan kenyataan Lim yang disifatkannya sebagai "bermulut celupar" kerana menyifatkan beliau sebagai seorang yang tidak jujur.

“Tak kisahlah anda tulis macam mana tapi saya mahu bersemuka,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Mustafa berkata, dakwaan bahawa beliau "tidak jujur" itu tidak tepat kerana mereka tidak pernah membincangkan mengenai enakmen itu.

"Dia kata saya tak jujur. Saya nak jelaskan di sini, perkataan yang digunakan Guan Eng itu bukan sahaja tidak tepat, tak betul tetapi menggambarkan dia seorang yang mulut celupar," katanya.

Ia menjawab kenyataan Lim yang mendakwa, Mustafa menyokong cadangan untuk mengadakan pilihan raya itu melalui perbualan telefon.

Laporan hari ini menyebut, Lim membuat panggilan itu selepas DUN Pulau Pinang meluluskan enakmen bagi melaksanakannya.

Menurut laporan tersebut, Lim menyifatkan Mustafa dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang “tidak jujur” kerana mendakwa sebaliknya..

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mustafa bertegas bahawa perkara itu tidak dibincangkan.

"Saya tak pernah berbincang atau dihubungi Guan Eng berkaitan dengan isu enakmen pilihan raya PBT ini, sebelum enakmen itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Sebelum ini tak ada.

"Tetapi saya mengaku selepas beberapa hari enakmen itu diluluskan, dia ada hubungi saya melalui telefon," katanya lagi dalam satu sidang media hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa perkara itu tidak dibincangkan dalam perbualan telefon tersebut.

“Guan Eng jangan cakap bohonglah. Dia cakap separuh betul...  Kalau (soal) telefon, ya saya akui. Kalau (soal) bincang, tidak (ada),” katanya.

Beliau juga kecewa kerana Lim sanggup mengeluarkan kenyataan semberono seperti itu.

“Jadi (perbuatan) cakap ikut suka hati ini tak baguslah bagi seorang pemimpin yang berwibawa macam dia.

Ketika ditanya, Mustafa berkata beliau juga sedia berdebat dengan Guang Eng berhubung enakmen tersebut.

"Jadi saya minta Guan Eng dan dan saya bersemuka. Ikutlah (pemberita) mahu guna perkataan apa (untuk nyatakan pertemuan itu).

"Saya cabar dia supaya bersemuka secara terbuka biar dia bagi versi dia, saya cakap versi saya.

"Biar rakyat tentukan siapa bohong siapa tidak. Saya akan bertanggungjawab," katanya.

Isu JK hudud

Mustafa turut membangkitkan tentang perbualan telefon bersama Lim semasa Kelantan ingin menyertai jawatankuasa teknikal bersama kerajaan persekutuan bagi pelaksanaan hudud.

Katanya, penglibatan Kelantan dalam jawatankuasa teknikal itu turut mendapat persetujuan daripada DAP.

Namun, katanya, beliau tidak mengambil persetujuan DAP mengenai penglibatan Kelantan dengan jawatankuasa teknikal itu sebagai persetujuan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Guan Eng kata, biar enakmen itu diserahkan pada jawatankuasa teknikal untuk dikaji dan tahu apa proses yang akan diambil. Ertinya, berdasarkan (kenyataan) itu, DAP setuju kerana Kelantan sertai jawatankuasa teknikal.

"Jawatankuasa teknikal itu dipersetujui oleh DAP. Tapi adakah saya kata DAP setuju dengan hudud? Tak adillah sebab DAP memang tak setuju dengan hudud.

"Kalau saya nak pukul rata, DAP setuju dengan jawatankuasa teknikal bermakna DAP setuju hudud. Tapi saya tidak cakap macam itu," jelasnya.

'Rakyat tentukan siapa bohong'

Justeru, bagi menamatkan krisis antara DAP dan PAS berhubung isu pilihan raya kerajaan tempatan, Mustafa berkata jalan penyelesaian yang terbaik ialah dengan mengadakan pertemuan secara terbuka.

"Dia kata dia bincang dengan saya, saya kata tidak. Jadi macam mana nak tahu siapa bohong siapa cakap betul? Jadi saya minta Guan Eng dan saya bersemuka.

"Saya cabar dia supaya bersemuka secara terbuka biar dia bagi versi dia apa nak cakap, saya cakap versi saya dan biar rakyat tentukan siapa bohong siapa tidak," katanya lagi.

Bagaimanapun Mustafa berkata, perkara itu tidak semestinya akan menyelesaikan semua perkara yang berbangkit antara PAS dan DAP.

Namun, katanya, sekurang-kurangnya, dengan pertemuan secara terbuka itu ia dapat meredakan 'pergelutan' antara dua parti itu.

"Jadi, ini jalan penyelesaian pada waktu ini. Bukan selesai semua sekali tetapi sekurang-kurangnya boleh meredakan," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS