MP PAS beri peringatan pada Guan Eng

       

Ahli jawatankuasa pusat PAS Khalid Samad memberi peringatan kepada ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya lebih berhati-hati dalam menyatakan kritikan ke atas kerajaan negeri Kelatan.

Katanya, Lim yang baru meraih gelaran “bermulut celupar” oleh PAS semalam perlu membuat kajian sebelum mengkritik tindakan kerajaan Kelantan dalam menangani banjir.

Katanya, setiausaha agung DAP itu tidak sepatutnya membuat kritikan terbuka yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan seperti “tidak wujud” semasa bah besar melanda negeri pantai timur itu.

Katanya, Lim sepatutnya mengkaji dan memahami terlebih dahulu kekangan yang dihadapi kerajaan negeri sebelum membuat kenyataan seperti itu.

"Adalah tak wajar dan tak adil untuk dia (Lim) hukum keberkesanan kerajaan Kelantan tanpa dengar penjelasan daripada kerajaan negeri sendiri.

"Tak boleh jatuh hukum tanpa dengar daripada mereka dulu. Saya nasihatkan Guan Eng, jangan menghukum terlebih dahulu.

"Kita tak tahu keadaan yang dihadapi dan kekangan yang dihadapi.

“Namun saya tak nafi ada kelemahan kerana kerajaan negeri tidak dilatih untuk hadapi pengurusan krisis," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Lim yang mendakwa demikian seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina Selasa lalu.

Kenyataan Lim itu turut mendapat kecaman Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang mendesak agar kenyataan tersebut ditarik balik.

Dalam tulisannya di laman Facebook PAS, Ahmad Fadli berkata, tuduhan yang dikeluarkan oleh Lim itu sangat melampau dan satu penghinaan kepada kerajaan Kelantan.

"Kelemahan tidak dapat dinafikan kerana banjir ini berlaku di luar jangka. Saya tidak menyatakan kerajaan Kelantan sempurna dan suci dari kelemahan, namun menyebut 'macam tiada kerajaan' ialah satu tuduhan yang sangat melampau.

"Ia adalah satu penghinaan kepada kerajaan Kelantan yang turut berada bersama di dalam Pakatan Rakyat.

"Saya kira Yang Amat Berhormat bolehlah menarik balik kenyataan tersebut jika ia benar sebagaimana yang dilaporkan.

“Degilnya Yang Amat Berhormat atas kenyataan ini, demikianlah akan tebalnya ingatan kami terhadap kecaman Yang Amat Berhormat," katanya.

Menurut laporan Sin Chew Daily , Lim membangkitkan bahawa, sesebuah kerajaan negeri perlu berkemampuan untuk melaksana tanggungjawabnya semasa menghadapi bencana.

"Bebas rasuah itu penting, tetapi lebih penting ialah boleh buat kerja. Kalau tidak mampu buat kerja, apa kamu dapat? Bila banjir besar berlaku, kamu lihat.

"Macam tak ada kerajaan. Kenapa? Kerana tidak boleh buat kerja. Jadi bebas rasuah (sahaja tidak cukup), kena boleh buat kerja. Jika tidak boleh buat kerja, lebih baik jangan jadi kerajaan," kata Lim seperti dipetik dalam laporan itu.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda