Umno Tanah Merah tidak bermesyuarat esok
Tarikh mesyuarat bagi Umno bahagian Tanah Merah Kelantan belum ditetapkan dan bukannya esok sepertimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini.
Tarikh mesyuarat bagi Umno bahagian Tanah Merah Kelantan belum ditetapkan dan bukannya esok sepertimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini.
Menurut ketua penaja Umno bahagian berkenaan, Datuk Hashim Safin, pihak bahagian belum dimaklumkan mengenai tarikh bagi bahagian berkenaan bermesyuarat.
Oleh itu, beliau menafikan laporan akhbar Berita Harian hari ini bahawa Umno bahagian Tanah Merah akan mengadakan mesyuarat pemilihannya esok.
Pada awalnya, mesyuarat Umno bahagian berkenaan dijadualkan berlangsung pada 20 Julai lalu, tetapi telah ditangguhkan selepas Hashim membuat laporan kepada Umno Kelantan dan Jawatankuasa Disiplin Umno mendakwa berlakunya penggunaan wang dalam mesyuarat cawangan.
Berikutan itu, Umno Tanah Merah adalah satu-satunya bahagian di Kelantan yang belum lagi mengadakan mesyuarat bahagiannya, manakala 14 bahagian lagi sudah selesai bermesyuarat.
Selain itu, ada juga pihak yang mendakwa ada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang, Kelantan, yang telah didaftarkan sebagai ahli Umno bahagian berkenaan, dan ada daripada ini yang turut mengundi dalam mesyuarat cawangan.
Kesemua cawangan dalam bahagian berkenaan telahpun mengadakan mesyuarat masing-masing. Bagi jawatan ketua bahagian, Hashim memperolehi 33 pencalonan manakala pencabarnya, Ikmal Hisham Aziz mendapat 73 pencalonan.
Aduan polis
Ikmal adalah ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan dan juga ahli Exco Pemuda Umno pusat.
Semalam, kedua-duanya adalah antara pemimpin Umno bahagian yang dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin Umno untuk memberi keterangan berhubungan aduan-aduan yang diterima berhubung dakwaan berlakunya politik wang di bahagian masing-masing.
Ahad lalu, dua ahli Umno bahagian Tanah Merah telah membuat
aduan polis
berhubung dakwaan ada pelajar sekolah menengah yang diupah untuk mengundi dalam mesyuarat cawangan Jun lalu.
Dua hari kemudiannya, mereka juga mengemukakan laporan yang sama kepada Suhakam supaya menyiasat mengenai tindakan pihak-pihak tertentu di bahagian berkenaan yang menggunakan pelajar sekolah kepentingan politik peribadi.
Sementara itu, sumber-sumber Umno bahagian Tanah Merah berkata, menurut prosedurnya, notis mengenai mesyuarat bahagian akan dikeluarkan oleh pihak urusetia bahagian untuk memaklumkan perkara itu dalam tempoh 14 sebelum mesyuarat diadakan.
"Sehingga ini belum ada notis tersebut dikeluarkan oleh pihak bahagian untuk memaklumkan tarikh mesyuarat bahagian akan diadakan," katanya.

