Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramai ke demo pro-Kazim, 'anti-cauvanis'
Diterbitkan:  Feb 5, 2015 1:15 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Ramai orang hadir ke perhimpunan menyatakan sokongan kepada pendakwah terkenal Datuk Mohd Kazim Elias yang didakwa membuat kenyataan perkauman dalam ceramahnya, di Ipoh semalam.

Ia berdasar gambar dimuat naik ke Facebook beliau semalam.

Sebahagian besar penyokong Kazim pada himpunan itu terdiri daripada wanita separuh usia yang hadir dengan berjubah hitam.

Sebahagiannya kelihatan memegang kad manila dengan tulisan jawi "Allah selamatkan guru kami Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias".

Mereka memegang beberapa kad manila lain dan duduk di bawah khemah, berdasarkan gambar yang dimuat naik di laman itu.

Himpunan itu dibuat susulan pengumuman pengendali laman Facebook Kazim tentangnya, pada sebelah pagi hari sama.

"Pastikan kehadiran kita di perhimpunan aman menyokong Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dalam menghadapi isu kiasu cauvanis petang ini, Rabu 4 Februari 2015, jam 4.00 petang di Dataran Pusat Pendidikan Al-Barakah.

"Tunjukkan kesepakatan dan kesatuan hati kita," pengumuman itu dipetik.

Malaysiakini turut cuba menghubungi Kazim melalui nombor telefon beliau.

Namun, selepas wartawan Malaysiakini memperkenalkan diri, pemilik nombor telefon itu sebaliknya mengaku sebagai "supir" Kazim bernama "Abdul Asas Abdul Rahman".

Serentak dengan itu, kedengaran hilai tawa yang kuat dari beberapa suara lain berhampiran individu tersebut.

'Saya bukan rasis'

Sementara itu, Kazim dalam tulisan di Facebook sama mempertahankan video ceramah kontroversinya sebelum ini.

"Saya yakin sangat-sangat Allah bantu. Saya bukan rasis tapi saya tak berkenan dengan yang melampau mempertikaikan apa yang telah termaktub," menurut status di laman sosial itu.

Namun, sehari sebelum itu, Kazim turut memuat naik menunjukkan kemesraannya dengan masyarakat pelbagai kaum.

Beliau antaranya memuat naik gambarnya bersama beberapa orang Tionghua yang hadir pada satu jamuan meraikan penganugerahan darjah kebesaran datuk kebesarannya.

Sehari sebelum itu pada 2 Februari pula, Kazim memuat naik gambarnya menerima "penghargaan" daripada guru bahasa Mandarin di sekolah yang diasaskannya, Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Laman Facebook sama turut memuat naik gambar Kazim bersama Jackie Chan yang menerima pingat Datuk di Istana Negara.

"Tumpang glamour jadilah. Tak boleh jadi filem star duduk sebelah dia pun jadilah,” guraunya.

Laporan berita Utusan Malaysia hari ini memetik Kazim berkata isu rakaman video ceramahnya timbul kerana beliau dikenali ramai.

Dalam laporan itu, Kazim berkata video rakaman ceramahnya hanya menjawab persoalan mengenai isu yang hangat dibicarakan ketika itu iaitu hak keistimewaan orang Melayu, ketuanan Melayu, raja dan anggota keselamatan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS